JOHOR BAHRU 30 Ogos - Johor merupakan sebuah negeri yang unik dan bertuah kerana dikurniakan dengan kepelbagaian produk pelancongan, iaitu 11 kluster pembangunan pelancongan dalam Pelan Induk Pelancongan Negeri Johor (2014-2023).
Banyak tarikan di negeri ini, antaranya kerencaman budaya, makanan, pusat beli-belah, pulau dan pantai, keindahan flora dan fauna, pusat peranginan, inap desa, taman tema keluarga, pelancongan berasaskan kesihatan dan pendidikan.
Semua ini merupakan kekuatan, keistimewaan dan teras utama produk pelancongan negeri di peringkat nasional dan antarabangsa, sekali gus meletakkan Johor sebagai hab utama pelancongan di Malaysia.
Bagi memantapkan strategi pemasarannya, kerajaan negeri menerusi Tourism Johor melakukan pelbagai usaha kreatif dan moden untuk mempromosikan industri pelancongan di negeri ini.
Selain misi utama untuk menarik pelancong, lawatan selama seminggu itu juga bertujuan menarik pelaburan baharu ke negeri ini dan tiga wilayah tersebut dipilih kerana potensi dan kekuatan ekonominya.
Lawatan disertai 15 delegasi diketuai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong turut disertai wakil Tourism Johor, Persatuan Pelancongan Johor (PPJ) dan Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA).
Mereka terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, Datuk M. Asojan merangkap Ahli Jawatankuasa Tourism Johor; Pengerusi PPJ, Mohd. Jamal Salleh: Pengarah Tourism Johor, Asman Shah Abd. Rahman; Pengarah Pusat Pembangunan Negeri Johor, Ahmad Main, Pengerusi MCTA Johor, Alvin Ho dan tiga wakil media cetak dari negeri ini.
Kunjungan tersebut sebagai simbolik pengukuhan hubungan dua hala antara kerajaan negeri dan kerajaan di wilayah berkenaan, memberikan pendedahan meluas tentang keunikan Johor daripada sudut pelancongan dan pelaburan.
Kedatangan delegasi Johor disambut mesra dan turut mendapat liputan media tempatan. Mereka amat berminat apabila diberikan taklimat dan penerangan tentang tarikan pelancongan selain peluang dan potensi pelaburan di negeri ini.
Perjumpaan dengan ketua-ketua kerajaan dari provinsi berkenaan selain pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif daripada beberapa konglomerat di Negara Tembok Besar itu menunjukkan reaksi positif dan meyakinkan.
Respons sama juga diberikan oleh pengusaha pelancongan, contohnya semasa sesi dialog dan Seminar Xplore Johor dengan lebih 60 pengusaha dan pemilik agensi pelancongan di Guangzhou, mereka teruja untuk bekerjasama dengan Tourism Johor.
Menurut Siew Kiong, tiga wilayah berkenaan dipilih kerana faktor ekonomi penduduk yang berkemampuan kerana kos sara hidup tidak terlalu tinggi jika dibandingkan dengan bandar-bandar utama di China.
"Misi khusus program ini adalah mempromosikan pelancongan Johor di bandar-bandar peringkat kedua seperti di wilayah Shandong dan Hei Long Jiang yang mempunyai populasi antara 140 hingga 160 juta orang," katanya.
Kerajaan negeri dan Tourism Johor, katanya, turut mengambil kesempatan kemudahan penerbangan terus AirAsia tiga kali seminggu dari Johor Bahru-Guangzhou bermula 30 Mei lalu untuk menarik lebih ramai pelancong China khususnya Guangzhou ke negeri ini.
Beliau berkata, program tersebut memberi fokus di China selain Indonesia kerana jumlah kedatangan pelancong dari Negara Tembok Besar itu semakin meningkat apabila 280,923 pelawat negara itu melancong ke Johor dari Januari hingga April lalu.
Jelasnya, perkara tersebut berbeza apabila 201,166 pelancong China yang datang ke negeri itu bagi tempoh yang sama tahun lalu melawat Johor dan pihaknya percaya bilangan berkenaan akan terus meningkat dari semasa ke semasa.
Siew Kiong yakin menerusi usaha-usaha yang dilakukan terutama Program Xplore Johor di wilayah Guangdong, Hei Long Jiang dan Shandong, sasaran satu juta pelancong China dalam tahun ini akan menjadi kenyataan.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.