Ini kerana Pulau Besar yang terletak di daerah Mersing, Johor bukan sahaja menyajikan pemandangan pantai indah dan tenang seperti Pulau Rawa, Pulau Sibu dan Pulau Aur, malah pengunjung boleh bermalam di dalam khemah di tepi pantai yang pasti menjadikan suasana malam cukup berbeza.

Untuk berkunjung ke Pulau Besar, pelancong boleh mendapatkan perkhidmatan bot dan feri di Jeti Mersing yang hanya mengambil masa kira-kira 30 minit perjalanan.

Tarikan utama di Pulau Besar sudah tentulah keindahan pantainya yang bersih dengan airnya jernih kebiru-biruan memukau pengunjung untuk melakukan aktiviti menyelam, selain merentas hutan di bahagian belakang pulau tersebut.

Tidak hairanlah resort di pulau itu yang menawarkan pakej penginapan lebih RM200 sehari tetap mendapat sambutan, lebih-lebih lagi pada musim cuti sekolah kerana merupakan satu percutian yang berbaloi dan privasi.

Namun bagi yang inginkan percutian bajet di Pulau Besar, mereka boleh berbuat demikian dengan menginap di Besar Adventure Camp pada harga yang cukup murah, iaitu RM80 bagi dua hari satu malam termasuk makan dan minum.

Diusahakan oleh seorang penduduk tempatan, Kelana Ali Kahar, 41, sejak tiga tahun lalu, Besar Adventure Camp menyasarkan golongan muda serta kumpulan backpackers yang mahukan tempat penginapan pada harga yang rendah.

“Idea ini tercetus memandangkan tidak ada resort serta inap desa di sini menawarkan perkhidmatan penginapan di bawah RM100. Oleh itu, saya usahakan perniagaan ini, khusus untuk mereka yang mempunyai bajet terhad seperti golongan muda dan kumpulan backpackers.

“Khemah Safari ini saya beli daripada sebuah syarikat produksi rancangan dari Perancis yang melakukan penggambaran di sini. Khemah inilah yang dipasang di tanah sendiri untuk disewakan kepada umum,” katanya.

Kelana memberitahu, khemah tersebut mempunyai dua buah bilik dan setiap bilik disediakan dua katil single dan kipas berdiri.

Menurutnya, daripada 30 khemah yang dibeli, hanya lima sahaja dipasang di kawasan tersebut, manakala selebihnya hanya akan dipasang sekiranya ramai pelanggan mahu menyewa dalam masa yang sama.

“Jika pengunjung ingin lebih jimat, mereka boleh memasang khemah sendiri di tapak perkhemahan dengan caj RM30 sahaja bagi tempoh seberapa lama mereka mahu,” katanya.

Bagi yang ingin mengetahui lebih lanjut pakej yang disediakan serta mengenai tapak perkhemahan itu, boleh melayari Facebook Besar Adventure Camp dan membuat tempahan dengan menghubungi talian 019-7392589.

Info
Alamat: Pulau Besar, Mersing, Johor
Kemudahan: 30 khemah
Bayaran: RM80 satu malam
Telefon: 019-7392589