Jika anda merancang untuk melancong ke Sabah tetapi mahukan suasana yang luar biasa dan magis dari segi panorama ciptaan Tuhan, Panorama Paraside Resort merupakan satu lokasi wajib anda lawati.
Terletak di Kampung Rasak Darat, Kota Marudu iaitu kira-kira 130 kilometer dari bandar raya Kota Kinabalu, resort milik seorang usahawan bumiputera termuda di negeri ini pasti menyajikan satu kenangan percutian yang tidak mungkin dapat dilupakan.
Panorama Paraside Resort yang merupakan pusat peranginan eko-pelancong pertama di Kota Marudu itu didirikan di atas tanah warisan keluarga seluas kira-kira enam hektar. Ia memiliki sembilan bilik dan satu dorm dengan kapasiti 20 hingga 25 pengunjung dalam satu masa.
Selain dapat menikmati pemandangan matahari terbit dan terbenam yang sukar dicari ganti di lokasi-lokasi lain, Panorama Paraside Resort turut memberi jaminan keselesaan kepada setiap percutian pengunjung di resort itu.
Malah, selepas menempuh perjalanan hampir dua jam setengah menyusuri ladang kelapa sawit, ladang jagung serta padi bukit, para pengunjung akan ‘disambut’ beberapa ekor rusa yang diternak di kaki Bukit Pinotodung.
Jelas pemilik resort, Selvestone Junit, 25, tiada apa yang diinginkan oleh beliau selain memberikan kepuasan kepada pengunjung di resort eko-pelancongan pertama di Kota Marudu itu.
Kata beliau, pihaknya menyediakan pelbagai aktiviti untuk para pengunjung yang merancang untuk melancong di Kota Marudu seperti pelayaran melewati sungai sambil menyelusuri keindahan alam flora dan fauna paya bakau di Teluk Marudu.
“Para pengunjung juga akan dibawa menikmati kehidupan dan habitat monyet belanda sebelum ‘mencuci’ mata melihat keindahan kelip-kelip.
“Keesokan harinya, para pengunjung berpeluang mendaki Bukit Pinotodung dengan jarak 700 meter,” katanya kepada .com.
Menceritakan lanjut, anak jati Kota Marudu berbangsa Rungus itu juga menyediakan pelbagai aktiviti menarik yang lain seperti melawat rumah panjang tradisional kaum Rungus, lokasi pembuatan gong di Matunggong serta bersiar-siar di daerah Kudat termasuk melawat ke Simpang Mengayau.
Selain itu, Selvestone berkata, beliau mengambil prinsip tempahan satu kumpulan untuk satu-satu masa bagi mengekalkan privasi kepada kumpulan pengunjung yang menginap di resort tersebut.
Malah, ujarnya, pengunjung yang ingin menikmati keindahan alam dari resort tersebut juga perlu membuat tempahan awal bagi mengelak bertembung dengan pengunjung lain.
Kata beliau, kebebasan juga diberikan untuk para pengunjung seperti kemudahan barbeku, karaoke dan yang terbaharu perkhidmatan refleksologi sambil menikmati kerlipan bintang di langit malam.
Selvestone yang juga pemenang pertandingan Cabaran Perniagaan Luar Bandar (RBC) anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada 2012 menambah, beliau sentiasa terbuka menerima maklum balas daripada pengunjung bagi memastikan perkhidmatan resort yang telah tiga tahun didirikan itu berjaya.
Untuk itu, jelas anak sulung daripada empat beradik ini merancang untuk menambah bilangan bilik, rumah atau chalet persendirian, rumah panjang tradisional kaum rungus selain bilik khas.
Tidak keterlaluan dikatakan bahawa penginapan satu malam di resort yang masih `baharu’ ini dirasakan tidak cukup untuk seseorang manusia mensyukuri nikmat dari Ilahi.
Atas rasa itu, bagi mereka yang menginginkan kelainan ketika bercuti di Sabah, anda boleh mencuba untuk merasai sendiri pengalaman menakjubkan ini dengan membuat tempahan lebih awal di talian 019-8633519 dengan harga serendah RM99 termasuk makan dan pakej.
Para pengunjung juga boleh melayari laman sesawang www.panoramaparadise.com, selain akaun media sosial Facebook iaitu Panorama Paradise Resort dan Instagram: @panorama_paradise. - ASSIM HASSAN
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.