Saturday, 22 June 2013

Pelancongan kesihatan: Rakyat Indonesia pilih Malaysia


Sebahagian 90 pelancong Indonesia tidak melepaskan peluang menyertai program kayuhan basikal bersama Malaysia-Indonesia di Dataran Putra, Putrajaya hari ini. - UTUSAN

PUTRAJAYA 22 Jun - Sebanyak 20 peratus daripada 2.3 juta pelancong Indonesia yang mengunjungi negara ini pada tahun lepas adalah untuk mengikuti pakej pelancongan kesihatan.

Pengarah Bahagian Pemasaran Antarabangsa (Asia Tenggara) Tourism Malaysia, Syed Yahya Syed Othman berkata, kebanyakan mereka datang dari Medan dan Sumatera. Beliau berkata, Pulau Pinang menjadi destinasi pilihan utama mereka untuk mendapatkan rawatan perubatan berbanding Kuala Lumpur yang menjadi tempat kedua.

"Harga berpatutan, perkhidmatan memuaskan dan kemudahan kelengkapan selesa yang disediakan oleh hospital swasta di sini antara faktor yang menarik perhatian mereka berbanding negara lain.

"Selain itu, jarak perjalanan yang dekat dan kemudahan penerbangan seperti ditawarkan oleh Sriwijaya Air memudahkan lagi mereka mendapatkan rawatan," katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis Kayuhan Basikal Malaysia-Indonesia di Dataran Putra, di sini hari ini. Terdapat seramai 90 pelancong dari negara itu menyertai program kayuhan tersebut.

Kesempatan itu digunakan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk mempromosikan Putrajaya sebagai salah satu destinasi pilihan pelancongan di negara ini. Syed Yahya berkata, seramai 630,419 pelancong dari Indonesia dicatatkan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Beliau berkata, jumlah itu mengalami peningkatan sebanyak 21 peratus berbanding tempoh sama bagi tahun sebelumnya. "Setiap tahun kita menyasarkan berlaku peningkatan sebanyak 15 peratus kedatangan pelancong dari Indonesia ke negara ini," katanya.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.