Friday, 7 June 2013

Outlet Shoppes gedung beli-belah 17 hektar di KLIA


KUALA LUMPUR 7 Jun - Horizon Group Properties Inc dan Mainstay Properties Sdn. Bhd. akan bersama-sama melabur lebih RM180 juta untuk membangunkan fasa pertama 'The Outlet Shoppes', sebuah gedung premium di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

Ketua pegawai pelaburan dan pengarah urusan Asia Horizon, David Nelson berkata, keseluruhan projek itu, dimiliki oleh Mainstay Properties, akan dibangunkan secara berperingkat di atas tanah seluas 17.6 hektar. Pembangunan itu akan dilaksanakan menerusi usaha sama 30:70 antara Horizon dan Mainstay.

Nelson berkata, fasa pertama itu terdiri daripada sebuah gedung membeli-belah - serupa dengan konsep Johor Premium Outlet dan akan mengambil keluasan 10.8 hektar tanah dengan 300,000 kaki persegi ruang runcit untuk disewa.

"Untuk fasa kedua, kami merancang pembangunan kediaman dan komersil, tetapi masih dalam peringkat perancangan. Fokus kami ialah gedung itu," katanya pada satu sidang media hari ini.

Nelson berkata, pembinaan dijangka bermula pada 2014 untuk ruang runcit di bawah fasa pertama, dengan pembukaan rasmi dijangka pada 2015.

"Kami boleh membawa jenama dan hubungan yang telah kami bina dan membantu mereka berkembang bersama di Asia, dan Kuala Lumpur adalah satu tempat yang amat sesuai untuk permulaan kami kerana ia adalah satu destinasi pelancongan yang rancak, terutamanya untuk pelancong Asia dan Timur Tengah," kata beliau.
-bernama/utusan.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.