Tuesday, 16 April 2013

“Le Tour De Homestay Selangor 2013” Bakal Popularkan Aktiviti Berbasikal Di Inap Desa

KUALA SELANGOR, 13 APRIL 2013: Bersempena dengan kempen Promosi Tahun Melawat Malaysia 2014, Pejabat Kementerian Pelancongan Negeri Selangor dan Tourism Malaysia Negeri Selangor telah menganjurkan program jelajah berbasikal “Le Tour de Homestay Selangor 2013” dari 13 hingga 14 April.

Para peserta program ini akan menunggang basikal sejauh 55 km dari Homestay Sungai Sireh diikuti Homestay Sungai Nibong dan berakhir di Homestay Sungai Hj Dorani.

Program 2 hari 1 malam  ini dibangunkan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan para peminat aktiviti berbasikal di negara ini mengenai destinasi-destinasi pelancongan berbasikal yang terdapat di inap desa-inap desa di Selangor.

Seramai lebih kurang 300 orang peserta telah mengambil bahagian dalam program ini yang melibatkan  ahli-ahli Persatuan Berbasikal Yayasan Al-Tarbiyah Malaysia, ahli-ahli Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GMPS), wakil-wakil badan berkanun, agensi-agensi kerajaan serta agensi-agensi swasta yang berkaitan.

Pengarah Bahagian Pemasaran Domestik, Tourism Malaysia, Encik Musa Yusof telah merasmikan program jelajah berbasikal “Le Tour de Homestay Selangor 2013” dan turut melancarkan “Fun Map Le Tour De Homestay Selangor 2013”  di Dewan Terbuka Homestay Sungai Sireh, di sini, hari ini. Turut hadir ialah Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam, Tuan Zailan bin Kadir dan Pengerusi Homestay Selangor, Tuan Haji Basir bin Wagiman.

“Fun Map Le Tour De Homestay Selangor” yang diterbitkan oleh Tourism Malaysia ini memaparkan pelbagai laluan berbasikal di sekitar inap desa-inap desa di Selangor untuk panduan para pelancong dalam dan luar negara.

Encik Musa dalam ucapannya berkata bahawa program ini memberi peluang kepada para pesertanya untuk menjelajahi inap-inap desa di sekitar Selangor dengan berbasikal sekaligus dapat menikmati keindahan dan keunikan yang terdapat di destinasi-destinasi tersebut.

“Selain itu, para peserta juga dapat menjalankan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan “voluntourism” seperti gotong royong dan aktiviti menanam pokok selaras dengan Kempen 1Malaysia Bersih & Indah yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Pelancongan,” sambung beliau lagi.

Siri kedua program “Le Tour De Homestay Selangor 2013” ini bermula dengan penyerahan para peserta kepada keluarga angkat masing-masing di Homestay Sungai Sireh dan diikuti dengan aktiviti “voluntourism” serta  aktiviti berkayak di inap desa tersebut. 

Aktiviti jelajah berbasikal yang akan bermula pada 14 April ini bakal menyaksikan para peserta berkonvoi menuju ke Homestay Kampung Batu 23 Sungai Nibong di Sabak Bernam untuk bersarapan pagi sebelum meneruskan perjalanan ke Homestay Sungai Haji Dorani yang juga terletak di dearah Sabak Bernam melalui jalan kampung.

Para peserta akan berpeluang untuk mencuba pelbagai aktiviti tradisional di Homestay Sungai Haji Dorani seperti aktiviti memancing, menangkap belut dan bermain layang-layang.

Program “Le Tour de Homestay Selangor 2013” ini turut mendapat kerjasama Persatuan Homestay Selangor, Majlis Daerah Kuala Selangor, Majlis Daerah Sabak Bernam, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia. Program ini merupakan siri kedua selepas program “Homestay Selangor Bike Ride 2013” dilancarkan pada 23 Februari yang lalu melibatkan inap-inap desa di daerah Kuala Langat dan Sepang.

LATAR BELAKANG HOMESTAY SELANGOR BIKE RIDE 2013Siri pertama jelajah berbasikal di inap-inap desa di Selangor telah diperkenalkan pada 23 Februari 2013 di bawah nama “Homestay Selangor Bike Ride 2013” yang melibatkan daerah Kuala Langat dan Sepang. 

Program sehari ini menyaksikan seramai 200 orang para pesertanya menunggang basikal merentasi enam inap desa yang bermula dari Homestay Lang Tengah menuju ke Homestay Kanchong Darat diikuti Homestay Kg Endah, Homestay Batu Laut, Homestay Kg Kundang dan berakhir di Homestay Banghuris. Pada acara tersebut, Pengarah Negeri Tourism Malaysia Selangor, Encik Mohammad Nor Ismail turut memperkenalkan “Fun Map Homestay Bike Ride Selangor 2013” Siri 1.

Selain itu, program tersebut juga turut menyelitkan aktiviti kemasyarakatan dan “voluntourism” seperti gotong royong membersihkan kampung serta aktiviti menanam pokok di Pusat Aktiviti Homestay Banghuris. Program ini turut mendapat kerjasama Majlis Daerah Kuala Langat, Majlis Daerah Sepang, Polis Diraja Malaysia dan Persatuan Homestay Selangor.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Puan Nurushama Abdul Hanan, Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Selangor di talian 03-55109100 atau emel nurushama@tourism.gov.my.

-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.