LANGKAWI 10 Mac - Pengalaman menoreh getah merupakan antara produk yang disediakan untuk para pelancong dalam pakej Langkawi Agro Trail yang akan dilancar, di sini Sabtu ini. Pengarah Tourism Malaysia Kedah, Roslan Othman berkata, menerusi pakej yang diperkenalkan khusus bagi mempelbagai produk pelancongan itu, para pelancong akan diajar cara-cara menoreh getah yang betul. Beliau berkata, pihaknya menyediakan enam produk pelancongan berasaskan pertanian, ternakan dan buah-buahan khusus untuk disertai mereka yang berminat, dalam usaha menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke sini.
Bercakap kepada Bernama di sini hari ini beliau berkata, antara aktiviti yang disediakan ialah lawatan ke Taman Agro-Teknologi Stesen Mardi Langkawi, Lubuk Semilang, Ulu Melaka untuk menoreh getah dan lawatan ke kebun buah-buahan. Di samping itu juga menurutnya para pelancong akan dibawa melawat Taman Kerbau, bengkel memproses ikan bilis tiga rasa di Kuala Teriang dan juga melihat cara memproses nira.
Pakej ini merupakan anjuran bersama Tourism Malaysia Kedah, Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Jabatan Veteriner, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Pertanian dan agensi pelancongan.
- Bernama
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.