Tuesday, 1 March 2011

Malaysia sering dirujuk sebagai destinasi menarik di Kuwait

KUWAIT CITY 1 Mac - Nama Malaysia yang sekali sekala timbul dalam majlis perjumpaan keluarga atau "diwaniya" yang kerap diadakan masyarakat Kuwait, di sini, sering merujuk kepada kisah-kisah menarik mengenai Malaysia. Duta Besar Malaysia di Kuwait, Datuk Ashaary Sani berkata, pelbagai inisiatif yang dilaksanakan pihak berkuasa bagi menarik kunjungan usahawan dan juga pelancong dari rantau ini ke Malaysia, menambah lagi kekerapan nama negara disebut dalam majlis-majlis diwaniya. Beliau berkata, pembabitan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam persidangan "Invest Malaysia 2011" di Abu Dhabi hujung bulan lepas, jelas menyerlahkan hasrat Malaysia membentang permaidani merah kepada para pelabur dari negara-negara Teluk.

Persidangan itu menyaksikan Malaysia dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) menandatangani Perjanjian Kerangka Malaysia-GCC mengenai Ekonomi, Komersial, Pelaburan dan Kerjasama Teknikal, yang sekali gus mencerminkan peningkatan ketara dalam hubungan ekonomi antara Malaysia dan keenam-enam negara anggota GCC yang terdiri daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Qatar, Kuwait, Oman dan Bahrain. Ashaary yang meluangkan masa bertanya khabar kepada wartawan Bernama yang berada di sini untuk mengikuti sambutan Jubli Emas Hari Kebangsaan Kuwait, ulang tahun ke-20 Kemerdekaan Kuwait, dan ulang tahun kelima pertabalan Amir Kuwait Sheikh Sabah Al-Ahmed Al-Jaber Al-Sabah, berkata kunjungan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen pada Mei tahun lepas turut meninggalkan kesan terhadap nama Malaysia di sanubari penduduk di sini.

Walaupun mengakui bahawa saiz dagangan Malaysia dengan negara-negara Arab, terutama Kuwait yang komoditi utamanya adalah minyak, masih agak kecil, beliau berkata, potensi untuk ia berkembang dengan pesat sentiasa ada. Katanya, jumlah dagangan antara kedua-dua negara dari Januari hingga Oktober tahun lepas menjangkau RM1.7 bilion, iaitu peningkatan sehingga 41.12 peratus berbanding tahun sebelumnya. Katanya, pelbagai langkah yang diambil Malaysia seperti kunjungan delegasi promosi, pembangunan prasarana untuk memenuhi keperluan pelancong Arab, meletakkan diri sebagai akses kepada pelaburan di negara-negara Asean buat pelabur Timur Tengah, di samping menampilkan ciri-ciri sebuah negara bersaudara Muslim, menghantar isyarat jelas mengenai usaha Malaysia menyambut kunjungan pelawat dari Kuwait, sama ada bagi tujuan sosial mahupun perniagaan.

Kadar tukaran mata wang asing yang cukup menarik (satu Dinar Kuwait bernilai kira-kira RM13) turut memberikan banyak kelebihan untuk kunjungan pelawat dari negara minyak ini ke Malaysia. Dari aspek pelancongan pula, beliau berkata, pelancong dari Kuwait biasanya memilih satu destinasi yang menyediakan segalanya, daripada percutian di taman tema, pantai indah, hutan hijau, kepada syurga membeli belah, dan keselesaan untuk pelbagai urusan perniagaan, dan Malaysia menyediakan segalanya. Menurutnya, hakikat bahawa jumlah pelancong Kuwait yang melawat Malaysia meningkat 15 peratus tahun lepas berbanding tahun sebelumnya, membuktikan bahawa sektor pelancongan negara cukup berpotensi di sini.

Bagi persekitaran perniagaan di sini buat pelabur dari Malaysia pula, Ashaary berkata, Kuwait menyediakan laluan kepada pengusaha untuk meneroka pasaran terbuka di Iraq. Beliau berkata, pengusaha boleh menjadikan Kuwait sebagai pangkalan untuk memasuki negara jiran, Iraq, yang kini sedang giat dibangunkan dalam era selepas Perang Teluk. Selain itu, kemakmuran rakyat Kuwait yang menenggelamkan sebarang petanda kemungkinan berlaku apa-apa rusuhan, juga boleh dijadikan faktor "penarik" bagi orang ramai untuk berminat untuk berkunjung ke sebuah negara Arab, berkunjung ke Kuwait.

Ashaary berkata, komuniti Malaysia yang berjumlah sekitar 200 orang di sini yang terdiri dari kalangan pelajar dan profesional memiliki hubungan yang rapat dan sentiasa saling mengambil berat antara satu sama lain. Katanya, Persatuan Rakyat Malaysia Kuwait di sini sering mengadakan perjumpaan dan acara-acara bersama bagi mengeratkan lagi hubungan. Menurutnya, hakikat kewujudannya jauh beribu batu menjadikan persatuan ini sentiasa dengan senang hati menyambut ketibaan sesiapa jua rakyat Malaysia yang bertandang ke Kuwait, dengan hati yang girang dan tangan yang terbuka.
- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.