Sunday, 13 February 2011

Laksamana Townlodge janjikan terbaik


LAKSAMANA Townlodge di Jalan Taman Kota Laksamana 2/13, Seksyen 2, berkonsepkan hotel dalam taman perumahan. – utusan/Nas Norziela Nasbah


MELAKA 11 Feb. – Kesan peninggalan bangunan lama dan artifak sejarah pada zaman pemerintahan penjajah British, Portugis dan Belanda di Banda Hilir hari ini menjadikan Melaka muncul antara destinasi tumpuan pelancong. Keunikan sejarah itu juga membolehkan Melaka diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Tidak dinafikan pengiktirafan itu seiring dengan status negeri ini sebagai salah satu negeri pelancongan yang terulung di Malaysia.

Antara lokasi yang sering menjadi kegemaran pelancong ketika bercuti di negeri ini adalah seperti Jonker Walk, Makam Hang Tuah, Menara Taming Sari, Kota A‘Famosa dan pusat beli-belah di Dataran Pahlawan. Bagi mereka yang datang ke negeri ini, anda mempunyai banyak pilihan dalam soal memilih tempat penginapan tidak kira hotel mahupun inap desa. Tarikan terbaru, pernahkah anda terfikir untuk merasai penginapan hotel di dalam taman perumahan? Jika ia, pastikan kunjungan anda ke negeri ini tidak disia-siakan dengan pengalaman menginap di Laksamana Townlodge.

Terletak di Jalan Taman Kota Laksamana 2/13. Seksyen 2, Taman Kota Laksamana, enam buah unit rumah kepunyaan Kumpulan Melaka Berhad (KMB) ini pastinya menjanjikan sebuah penginapan ala hotel terbaik ketika ini. Dikendalikan sepenuhnya oleh anak syarikat KMB, Akademi Pelancongan Melaka (APM), enam buah unit teres mewah ini menyediakan tiga buah bilik standard dan sebuah bilik utama. Lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti ruang dapur yang boleh digunakan pengunjungnya, Laksamana Townlodge sesuai bagi mereka yang datang bercuti bersama keluarga besar.

Perkhidmatan hotel di dalam taman perumahan ini juga menyediakan kemudahan WiFi percuma dan ruang tamu dilengkapi sofa dan televisyen. Apa yang menarik lagi Laksamana Townlodge yang didaftarkan di bawah Persatuan Hotel Bajet ini bukan menyediakan sebuah bilik semata-mata malah sebuah rumah mewah boleh disewa oleh pengunjung yang mahu sedikit privasi. Kadar harga bagi sebuah rumah mewah adalah RM550 semalam, RM180 bagi bilik utama dan RM99 bagi sebuah bilik standard satu malam. Kadar ini tidak termasuk ‘surcharge’ yang dikenakan pada hari Jumaat, Sabtu dan cuti umum.

Walaupun tidak mempunyai restoran atau kafe seperti yang disediakan oleh hotel-hotel lain, Laksamana Townledge ada caranya tersendiri selain ruangan mini bar dan jualan kios di sini. Berbekalkan kerjasama yang dijalinkan oleh beberapa restoran mahupun pengusaha tempatan, pengunjung mempunyai banyak pilihan selain lokasinya yang hanya satu kilometer daripada pusat bandar. Selain itu, Laksamana Townlodge juga berdekatan dengan salah satu kawasan pelancongan popular di negeri ini iaitu Jalan Jonker dan tapak warisan dunia yang hanya mengambil masa tiga minit ke kawasan tersebut.

Bagi mereka yang gemar aktiviti riadah sewaktu percutian, mereka boleh berjalan-jalan di sekitar Marina Bay yang menyediakan trek untuk bersenam. Tidak cukup dengan tawaran menarik tersebut, Laksamana Townlodge yang menjadi aspirasi Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam ini turut menyediakan ruang bengkel termasuk penginapan di sini. Terbaru hotel berkonsepkan di dalam taman perumahan ini menerima tetamu dari Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) yang memilih untuk menjalankan bengkel di sini. Pelbagai kemudahan disediakan oleh APM bagi menepati cita rasa pengunjung seperti ruang tamu yang dilengkapi dengan set sofa, susun atur mengikut kesesuaian mengadakan bengkel dan kemudahan letak kereta di semua unit yang disediakan.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, anda boleh menghubungi 06-2822700 atau 012-7898437 bagi sebarang tempahan. Bagi mereka yang mahu melihat gambaran mengenai Laksamana Townlodge secara dekat boleh terus datang ke Taman Kota Laksamana ataupun layari laman sosial facebook dengan carian Laksamana Townlodge.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.