JOHOR BAHRU 18 Feb. – Kagum dengan keunikan layang- layang tempatan merupakan antara faktor utama bagi peserta luar negara menyertai Festival Layang-layang Sedunia Pasir Gudang ke-16 di Bukit Layang-layang, Pasir Gudang dekat sini. Menurut mereka, layang-layang tempatan sama ada bermotifkan tradisional atau moden amat berbeza selain mempunyai ciri tersendiri berbanding negara lain.
Peserta Britain, George Webster, 75, mengakui amat teruja dengan layang- layang tempatan yang berbentuk ketupat, petai termasuk bermotifkan haiwan seperti harimau, burung helang dan sotong. Menurutnya, ia sesuatu yang unik dan kelainan itu membuatkan festival tersebut begitu istimewa di mata pelayang luar negara. “Ini menunjukkan kreativiti pelayang tempatan amat tinggi, kita tidak pernah terfikir motif sedemikian boleh dijadikan layang-layang malah dalam bentuk layang-layang gergasi. “Pada masa sama, pelayang dari Eropah seperti kami mendapat satu pengalaman baru dalam festival kali ini,” katanya semasa ditemui di sini hari ini.
Festival anjuran kerajaan negeri itu diadakan selama lima hari berturut-turut bermula kelmarin dengan melibatkan lebih 221 peserta dari 30 buah negara. Webster berkata, selain layang-layang dan wau tempatan, peserta luar juga dapat melihat layang-layang dari Jepun, Korea, Kemboja dan Thailand yang turut mempunyai keunikan tersendiri. Rasa kagum itu turut dikongsi rakan senegaranya, Malcolm Goodman, 66, yang menampilkan layang-layangnya dengan gambar dan motif pahlawan samurai dan naga. Menurutnya, motif dari negara Jepun itu amat disukainya kerana dia meminati kisah samurai dan mitos naga.
“Saya ambil masa yang lama untuk mencorakkan layang-layang dengan motif ini dan ia memerlukan kira-kira 30 minit untuk memasang seluruh bahagiannya,” katanya. Warga emas itu mengakui faktor usia tidak pernah menghalangnya untuk terus meminati permainan layang-layang termasuk menyertai festival tersebut. Yoon Kim, 57, dari Korea, yang telah empat kali menyertai festival itu berkata, dapat berkongsi minat dengan rakan dari negara lain adalah satu pengalaman paling bermakna baginya. Menurutnya, semua peserta mempunyai cerita dan pengalaman masing-masing kerana kebanyakan mereka pernah menyertai festival seumpama itu di negara lain.
Peserta tempatan, Mohd. Hamzah Jumat, 59, pula berkongsi minat dengan ahli keluarganya yang turut datang ke festival itu bagi menyaksikan beraneka jenis layang-layang. Mohd. Hamzah yang berasal dari Permas Jaya berkata, permainan itu membuatkannya merasa tenang sekali gus melupakan segala masalah atau kerja hariannya. Dia yang merupakan pengurus di sebuah syarikat di sini memberitahu, dia mempunyai lebih 30 koleksi layang-layang dengan pelbagai bentuk dan motif.
-Utusan Online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.