KUALA LUMPUR 18 Feb. - Sekolah Sri Garden hari ini melancarkan program pertukaran pelajar yang bertujuan mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa melalui nilai-nilai unik masyarakat Malaysia yang ditonjolkan peserta program itu.
Pengetuanya, Peter Wells berkata, pelajar dari negara ini yang mengikuti program itu berperanan bagaikan seorang duta bagi memberi penerangan kepada penduduk negara luar mengenai negara ini.
Katanya, program pertukaran pelajar juga berpotensi untuk mendidik golongan muda supaya mempunyai semangat patriotisme yang tinggi sekali gus melahirkan bangsa yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
"Tujuan utama sesebuah program pertukaran pelajar adalah mewujudkan persefahaman di antara rakyat negara ini dan negara luar yang saya yakin mampu dicapai melalui program ini.
"Mempelajari budaya negara asing merupakan cara yang baik untuk memahami bagaimana suatu bangsa itu berfikir, serta menjadikan kita lebih menghargai tempat asal usul kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pertukaran Budaya dan Pendidikan kali kelapan di antara sekolah itu dan Sekolah Tinggi Hokuryo dari Jepun di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Pengetua Sekolah Tinggi Hokuryo, Toshihiko Kono.
Program pertukaran pelajar yang bermula sejak 2004 itu merupakan program tahunan kedua-dua sekolah tersebut dan turut merupakan silibus wajib bagi pelajar tahun akhir sekolah dari Jepun itu.
Pelajar-pelajar dari Jepun itu juga akan tinggal bersama keluarga angkat masing-masing yang terdiri daripada keluarga pelajar Sekolah Sri Garden tersebut.
Sementera itu, Ketua Bahagian Menengah Sri Garden, Datin Christine Chiu berkata, pelajar sekolah itu yang berminat menyertai program tersebut harus melepasi ujian kelayakan yang diwajibkan pihak sekolah.
Jelasnya, pelajar yang lulus kemudian perlu mengikuti kurikulum khas sebagai persediaan ke negara matahari terbit tersebut.
"Sekurang-kurangnya 35 orang pelajar daripada sekolah ini akan dipilih bagi menyertai program pertukaran pelajar dan mereka merupakan pelajar yang menunjukkan prestasi cemerlang di sekolah," katanya.
Dalam pada itu, wakil pelajar, Desmond Yip, 17, berkata, pelajar harus merebut peluang menyertai program itu kerana ia tidak terdapat di semua sekolah di negara ini.
Katanya, program tersebut amat baik kerana mampu mematangkan diri seseorang melalui pengalaman berinteraksi serta mempelajari budaya baru.
-Utusan Online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.