Monday, 14 February 2011

Inap desa ala hotel atasi masalah rumah terbiar

MELAKA 11 Feb. - Inap desa ala hotel yang diperkenalkan di kawasan perumahan di negeri ini oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dilihat mampu menjadi ikon baru pelancongan di negeri bersejarah ini. Pengurus Akademi Pelancongan Melaka (APM), Salman Salim berkata, pemilihan konsep hotel dalam taman perumahan yang pertama di negeri ini mempunyai banyak kelebihan. Menurutnya, kelebihan menjadikan hotel seperti rumah sendiri membolehkan pengunjung lebih selesa menjalani percutian mereka di sini.

Kata beliau, walaupun perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan adalah sama seperti hotel tetapi yang membezakan Laksamana Townlodge dengan inap desa lain ialah ia merupakan bangunan beberapa unit buah rumah mewah di dalam taman perumahan. "Keadaan ini agak berbeza dengan inap desa atau calet yang terletak di kawasan-kawasan kampung," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini. Menurut Salman lagi, enam unit rumah mewah yang berukuran 24 x 80 kaki turut dilengkapi dengan kemudahan keselamatan iaitu sistem kamera litar tertutup (CCTV).

Bagi menambah keselesaan dan peluang rekreasi kepada pengunjung katanya, pengusaha terlibat menyediakan kemudahan seperti basikal dan beca bagi membolehkan mereka bersiar-siar di pusat bandar memandangkan ia terletak berhampiran. Sementara itu Salman memberitahu, dengan penubuhan hotel di dalam taman perumahan ia dapat mengelakkan rumah-rumah kosong dibiarkan begitu sahaja. "Dengan penubuhan Laksamana Townlodge di sini, ia dapat mengelak kawasan perumahan menjadi lengang.

"Ia sekali gus memberi sedikit 'cahaya' kepada kawasan yang mungkin dahulunya suram kerana ia kini meriah dengan kehadiran pengunjung yang menginap di sini," katanya. Menurut beliau, pihaknya turut menjalankan beberapa kerjasama dengan pengusaha-pengusaha tempatan dalam memperkenalkan produk masing-masing. "Kita mempunyai mini kios dan di dalam kios ini pelbagai produk tempatan dipamerkan bagi tujuan penjualan. Dengan usaha ini bukan sahaja memperkenalkan produk pelancongan terbaru Melaka malah membantu pengusaha tempatan menjual produk masing-masing," katanya.

Salman menjelaskan, pihaknya bercadang mencari lagi rumah-rumah terbiar untuk dijadikan penginapan inap desa ala hotel dalam usaha mengurangkan rumah terbiar di dalam sesebuah kawasan. "Keadaan ini dapat mengurangkan sedikit sebanyak kerugian pemaju yang tidak mempunyai pembeli dan juga memberi manfaat kepada pihak penggiat hotel iaitu mengurangkan masalah bilik hotel atau inap desa yang terhad terutama pada musim cuti sekolah," katanya.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.