Wednesday, 27 October 2010

PHM tingkat kempen inap desa

Pelancong dari Sweden bersama keluarga angkat Melayu semasa menginap di inap desa Kampung Kuala Medang, Kuala Lipis, baru-baru ini.

TEMERLOH 26 Okt. - Persatuan Homestay Malaysia (PHM) akan meningkatkan kempen menginap di inap desa bagi menggalakkan lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa berkunjung ke Pahang. Presidennya, Shariman Hamdan berkata, pihaknya juga akan mengadakan kempen tersebut ketika Kementerian Pelancongan mengadakan promosi di luar negara. Katanya, ia perlu bagi menggalakkan pelancong luar bermalam di inap desa yang disediakan dengan pelbagai kemudahan. ''Pada masa ini, terdapat trend pelancong asing lebih berminat bermalam di inap desa kerana murah dan boleh mengenali budaya, makanan dan berhubung dengan penduduk tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis makan malam Kelab 1Malaysia Inap Desa Murni di Kampung Desa Murni, Sanggang dekat sini baru-baru ini. Menurut Shariman, kebanyakan pakej percutian sekolah dari luar negara juga lebih berminat bermalam di inap desa. Dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini, kata beliau, pendapatan keseluruhan pengusaha inap desa di Pahang ialah sebanyak RM6.2 juta dengan bilangan pelancong seramai 108,798.
''Bilangan kedatangan pelancong yang menginap di inap desa di negeri ini meningkat sebanyak 18.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu," katanya. Daripada jumlah itu, kata beliau, 42 peratus yang menginap di inap desa adalah pelancong asing dan hanya 12 peratus pelancong domestik.

Menurutnya, promosi serta kempen galakan pelancongan perlu diadakan sebagai usaha memperkenalkan kesenian, adat dan budaya rakyat tempatan selain menjimatkan perbelanjaan mereka. Program inap desa, kata beliau, ternyata dapat memberikan sumber pendapatan sampingan kepada penduduk tempatan. Tambahnya, sehingga ini terdapat sebanyak 138 inap desa di seluruh negara dengan hampir 3,000 pengusaha persendirian yang menyediakan lebih 4,000 bilik.
-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.