ALOR STAR 27 Okt. - Menara Alor Setar dengan kerjasama Muzium Telekom dan Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. mengadakan pakej lawatan khas untuk pelajar sekolah di Kedah. Pengurus Besar Menara Alor Setar, Mazlan Mahmud berkata setiap pelajar hanya dikenakan bayaran RM10 dan mereka akan daibawa naik ke menara tersebut. "Selain itu mereka juga akan dibawa menginap di Muzium Telekom di Kuala Lumpur selama satu malam sebelum dibawa naik ke Menara Kuala Lumpur pada keesokan harinya," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata, pihak sekolah hanya perlu menyediakan pengangkutan untuk membawa para pelajar mereka manakala lain-lain keperluan seperti penginapan, makanan dan aktiviti akan ditanggung oleh pihak menara. "Objektif utama pakej ini diperkenalkan kepada pelajar khususnya pelajar luar bandar adalah untuk mengikuti perkembangan dan sejarah telekomunikasi negara di samping mewujudkan lawatan sambil belajar yang dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan.
"Para pelajar akan diberikan sijil dan pakej ini sebenarnya telah dibuka bermula awal September lalu dan akan berakhir Januari tahun hadapan. "Pihak sekolah perlu membuat tempahan awal supaya ia tidak berselisih dengan sekolah lain kerana kita hanya menghadkan 80 orang pelajar untuk satu-satu masa," kata Mazlan.
- BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.