Sunday, 30 August 2026

25,000 Peserta Meriahkan Edisi Sulung Malaysia Marathon 2026!

 

KUALA LUMPUR, 30 Ogos 2026 – Malaysia Marathon 2026 mencatatkan sambutan meriah dengan menghimpunkan kira-kira 25,000 peserta tempatan dan antarabangsa dalam edisi sulungnya di Kuala Lumpur.

Acara melibatkan kategori 42KM, 21KM, 10KM dan 5KM, selain pelbagai pengisian menarik termasuk Larian Bendera Malaysia 5KM yang melibatkan 1,000 pelajar KPTM Bangi, membawa semangat patriotisme dan perpaduan dalam acara bertaraf antarabangsa ini.

Pelepasan acara 5KM telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri, di KLCC. Turut hadir YB Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya; YB Datuk Seri Dr. Ahmad bin Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya; YBrs. Encik Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, Ketua Pengarah Tourism Malaysia; Encik Mohd Akbal Setia, Timbalan Ketua Pengarah (Promosi I) Tourism Malaysia; Encik Lee Thai Hung, Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia, serta tetamu kenamaan yang lain.

Kemeriahan acara turut diserikan dengan persembahan artis tempatan, HOT FM BIG JAM, robot HONOR serta cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah Proton Saga 1.5.

Penganjuran ini bukan sekadar meraikan sukan dan gaya hidup sihat, malah menjadi platform untuk memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan sukan kepada peserta dari seluruh dunia, selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026–2027.

-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.