Sunday, 31 May 2026

Sambutan Kaamatan Menyerlahkan Kekayaan Budaya Malaysia

 

KOTA KINABALU — Tourism Malaysia meraikan ketibaan pelawat domestik dan antarabangsa menerusi sambutan Kaamatan yang meriah sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026). Acara sambutan tersebut berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 30 Mei 2026.

Majlis sambutan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) telah dihadiri oleh YBrs. Encik Mohd Amirul Rizal Bin Abdul Rahim, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, YBrs. Encik Muhamad Nasir Bin Pahmi, Pengarah Bahagian Sumber Manusia, Tourism Malaysia, YBrs. Encik Chong Wai Kit, Pengarah MOTAC Sabah dan YBrs. Encik Humphrey Ginibun, Ketua Pegawai Strategik, Sabah Tourism Board. Turut hadir memeriahkan majlis ialah wakil syarikat penerbangan, penggiat industri pelancongan tempatan dan rakan strategik.

Pelawat yang tiba di lapangan terbang disambut dengan layanan mesra Malaysia menerusi persembahan kebudayaan, hiasan perayaan serta sesi sambutan interaktif. Para pelawat turut menerima cenderamata khas dan dijamu dengan makanan tradisional tempatan seperti Bambangan (mangga liar) dan Losun (daun bawang liar), iaitu hidangan tradisional yang digemari ramai serta memberikan pengalaman pertama yang istimewa terhadap kepelbagaian warisan kulinari Malaysia. Suasana meriah turut diserikan dengan persembahan tarian tradisional dan muzik daripada kumpulan kebudayaan Sabah, sekali gus mewujudkan pengalaman budaya yang autentik dan mendalam kepada para penumpang yang tiba. Acara tersebut turut dilancarkan secara simbolik dengan paluan gong tradisional oleh Encik Mohd Amirul Rizal Bin Abdul Rahim, Ketua Pengarah Tourism Malaysia.

-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.