KUALA LUMPUR: Sektor pembuatan berorientasikan domestik dijangka
menerima suntikan baharu menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026),
walaupun industri eksport negara terus berdepan cabaran ketidaktentuan global.
Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Farah Zazreen Zainudin,
berkata sokongan permintaan itu dijangka mengimbangi kelemahan yang masih
dialami oleh sebahagian segmen eksport negara, dengan prospek pembuatan
domestik lebih positif.
Katanya, ia turut disokong sektor pelancongan yang bakal mencetus
kesan berganda terhadap perbelanjaan pengguna dan aktiviti rantaian bekalan
tempatan.
"Pemulihan permintaan domestik dijangka menjadi penampan
penting kepada kelemahan pesanan luar, terutama apabila aktiviti pelancongan
meningkat sempena TMM 2026," katanya dalam nota penyelidikan.
Farah Zazreen berkata, sentimen pembuatan ketika ini masih
dipengaruhi oleh penilaian berhati-hati terhadap risiko luaran dan domestik,
termasuk kos input yang tinggi serta ketidaktentuan geopolitik.
Namun, katanya, peningkatan perbelanjaan pelancong mampu membantu
menghidupkan semula segmen yang berkaitan langsung dengan penggunaan seperti
makanan dan minuman, barangan pengguna serta produk kraftangan.
Bank Islam turut memetik perkembangan di Thailand sebagai penanda
aras serantau, di mana negara itu mencatat PMI pembuatan 56.6 pada Oktober
2025, bacaan tertinggi sejak Mei 2023.
Beliau menjelaskan, peningkatan tersebut sebahagian besarnya
digerakkan oleh permintaan domestik yang kukuh, walaupun pesanan eksport
Thailand kekal lemah.
Katanya, prestasi Thailand membuktikan permintaan dalam negeri mampu
menjadi enjin pertumbuhan yang penting bagi sektor pembuatan, terutama bagi
negara yang mempunyai asas pelancongan besar.
"Malaysia juga berada pada kedudukan sama apabila penganjuran
TMM 2026 dijangka merancakkan rantaian industri tempatan merentas pengeluaran
makanan, peruncitan, produk kraftangan dan perkhidmatan berkaitan
pelancongan," katanya.
Nota penyelidikan Bank Islam itu turut mengingatkan Malaysia
mempunyai nisbah perdagangan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK)
tertinggi dalam kalangan ASEAN-5 iaitu 137.4 peratus pada 2024, menandakan
kebergantungan tinggi negara kepada persekitaran luaran.
Justeru, katanya, sebarang kejutan perdagangan global memberi kesan
ketara kepada sentimen pengilang walaupun permintaan sebenar dalam negara kekal
stabil.
Farah Zazreen menjelaskan, percanggahan antara Indeks Pengurus
Pembelian (PMI) pembuatan yang kekal di bawah paras 50 dan data eksport serta
Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) yang sebenarnya kukuh adalah disebabkan
perbezaan metodologi.
PMI adalah data tinjauan berasaskan sentimen, manakala eksport serta
IPI adalah data sebenar yang mencerminkan pengeluaran dan penghantaran fizikal.
Menurut beliau, pengilang mungkin melaporkan bacaan PMI yang lemah
disebabkan tekanan kos dan jangkaan risiko, walaupun kilang sebenarnya
beroperasi pada kapasiti yang lebih aktif.
"PMI mencerminkan persepsi dan jangkaan masa hadapan. Dalam
persekitaran global yang tidak menentu, pengilang sering mengambil pendekatan
lebih berhati-hati walaupun data pengeluaran dan eksport menunjukkan
pertumbuhan kukuh," katanya.
Segmen Elektrik dan Elektronik (E&E) terus mendominasi eksport,
menyumbang lebih 40 peratus daripada keseluruhan penghantaran pembuatan.
"Walaupun terdapat sedikit ketinggalan antara jualan
semikonduktor global dan eksport E&E Malaysia, trend pengukuhan teknologi
global kekal menjadi penyokong utama prestasi sektor itu," katanya.
Bank Islam menjelaskan prestasi baik sektor E&E kadangkala
'menyembunyikan' kelemahan yang dialami oleh pengilang kecil dan sederhana
dalam industri lain, menyebabkan bacaan PMI kekal lemah walaupun angka eksport
tumbuh kukuh.
"Ini turut menjejaskan sentimen keseluruhan pengilang yang
lebih sensitif kepada kos dan permintaan domestik. Selain itu, faktor kos input
dan margin keuntungan yang terjejas turut mempengaruhi perasaan berhati-hati
dalam kalangan pengilang," katanya.
Farah Zazreen berkata pengeluar mungkin mengekang pengambilan
pekerja atau pesanan baharu meskipun permintaan sebenar menunjukkan
peningkatan, menyebabkan bacaan PMI kekal rendah.
"Dalam konteks ini, penganjuran TMM 2026 dilihat sebagai
peluang untuk memulihkan keyakinan pengilang, terutamanya mereka yang
bergantung kepada tahap penggunaan domestik. Sektor seperti makanan diproses,
barangan pengguna, tekstil, perabot dan produk logam ringan berpotensi mencatat
peningkatan pengeluaran apabila permintaan pelancong meningkat," katanya.
Beliau berkata, Malaysia berpotensi mengikuti prestasi Thailand,
terutama jika permintaan domestik terus dipacu oleh pelancongan sambil sektor
eksport mengekalkan trajektori positif.
"TMM 2026 boleh menjadi pemangkin utama untuk mengimbangi
risiko luaran, dengan permintaan domestik berperanan menyokong pengeluaran di
kilang," katanya.
-berita harian online.