PETALING
JAYA: Penyertaan lebih 100 pempengaruh dan pencipta kandungan dari 19 negara
pada All Star Influencers Award (ASIA) 2025 di Kuala Lumpur, Ahad lalu, menjadi
pemangkin kepada usaha kerajaan dalam menarik pelancong luar menerusi inisiatif
mempromosikan negara secara digital selari dengan kempen Tahun Melawat Malaysia
(TMM) 2026.
Sejak
beberapa bulan lalu, pempengaruh termasuk dari Malaysia, Indonesia, Thailand,
Filipina, Singapura, Vietnam, India, Pakistan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab
Saudi, Mesir, Jordan dan beberapa lagi menjelajah ke pelbagai destinasi
pelancongan utama di seluruh negara, seperti Melaka, Sabah, Pulau Pinang,
Kedah, Johor dan Sabah.
Inisiatif
ini dilihat cukup strategik dalam memperkenalkan khazanah dan budaya negara di
mata dunia melalui sebaran kandungan dalam talian dengan pelbagai cara serta
kreativiti.
Melalui
aktiviti penciptaan kandungan kreatif dan pelbagai cabaran digital, pempengaruh
terbabit berjaya membawa lebih 1.3 bilion capaian digital tontonan di pelbagai
platform media sosial, mengatasi rekod tahun lalu sebanyak 518 juta tontonan.
Penganjur ASIA 2025, Datuk Abd Rahman Soltan, berkata acara ini
menjadi menjadi platform menggabungkan dunia digital dan pelancongan secara
unik, sekali gus membuka peluang kepada bakat pempengaruh dari seluruh Asia dan
Asia Barat untuk memperkenalkan keunikan Malaysia kepada global.
"Lebih 1.3 bilion capaian digital tontonan membuktikan bahawa
gabungan kreativiti digital dan promosi pelancongan mampu mencipta impak besar
dalam memperluaskan jangkauan serta meningkatkan kesedaran terhadap destinasi
dan budaya kita.
"Ini menunjukkan gabungan kreativiti, teknologi dan sokongan
bersepadu, kita boleh membawa Malaysia ke persada dunia digital dengan lebih
berkesan. Kami percaya bahawa pengaruh digital kini memainkan peranan penting
dalam membentuk imej negara dan membuka peluang baharu dalam industri
pelancongan.
"Kami mahu ASIA 2025 menjadi ruang bagi pencipta kandungan
untuk mengasah bakat, berkongsi inspirasi dan bersama-sama memajukan industri
digital dan pelancongan di rantau ini," katanya ketika ditemui pemberita
selepas pengumuman pemenang pada malam kemuncak ASIA 2025 di sini, Ahad lalu.
Abd Rahman berkata, inisiatif diambil untuk menarik pelancong luar
ke Malaysia melalui jalan media sosial dilihat sebagai langkah strategik
memandangkan platform maya itu sedang menjadi tumpuan seluruh dunia ketika ini.
"Tujuan kami memang untuk mempromosikan industri pelancongan di
Malaysia. Jadi, saya fikir pintu utama negara ini penting supaya ramai
pelancong dari luar negara nampak Malaysia.
"Kalau kita tidak menggunakan produk sedia ada seperti media
sosial yang paling disukai ramai buat masa ini, saya rasa itu suatu kerugian.
Jadi, saya mengambil satu langkah untuk menggabungkan pempengaruh dari seluruh
dunia.
"Melalui acara ini, mereka ke Malaysia supaya dapat berkumpul
dan menyediakan pelbagai kandungan berbeza dalam negara kita. Ini satu cara
promosi yang agak berbeza," katanya yang turut menyasarkan penyertaan dari
30 negara untuk edisi akan datang.
Malam kemuncak ASIA 2025 menyaksikan pelakon dan pempengaruh media
sosial terkenal dari Vietnam, Cindy mengungguli anugerah utama, iaitu
Pempengaruh Terbaik dengan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai AS$15,000
(RM63,360), trofi dan tiket penerbangan ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Cindy atau nama sebenar, Huỳnh Thị Diễm Mi, 24, berkata dia sama
sekali tidak menjangka mampu merangkul kemenangan utama.
"Saya tidak menjangka kemenangan ini. Terima kasih kepada semua
pihak yang sudah memilih saya. Wang kemenangan ini saya akan manfaatkan untuk
kegunaan keluarga terlebih dahulu," katanya.
Cindy yang turut membawa pulang trofi Pencerita Terbaik pada malam
kemuncak ASIA 2025 berkata, dia terbuka untuk bekerjasama dengan produksi di
Malaysia.
"Kalau ada tawaran dan sekiranya saya diberi peluang berlakon
di Malaysia, saya sedia belajar Bahasa Melayu," katanya.
Tempat kedua dirangkul pempengaruh dari Indonesia, Sheren Natalia
yang membawa pulang trofi, wang tunai AS$15,000 (RM21,120) dan percutian ke
Dubai.
Pempengaruh Kemboja, Rainne Dara menduduki tempat ketiga dan membawa
pulang wang tunia AS$3,000 (RM12,672) dan tiket penerbangan sama.
Trofi bagi kategori Kulinari Terbaik menjadi milik pencipta
kandungan dari Thailand, Pep Kemika yang tampil dengan video mencari makanan di
Johor dan Pahang.
Kategori Suntingan Terbaik dimenangi pempengarug Filipina, Herony
yang banyak menghasilkan video dengan 'transition' berkualiti.
Program jelajah ini bermula di Johor dan Pahang, Julai lalu,
disusuli Melaka dan Selangor, Ogos lalu diikuti Pulau Pinang dan Langkawi,
September lalu dan berakhir di Sabah pada pertengahan bulan ini.
Program berskala besar ini mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Tourism Malaysia.
MOTAC bertindak sebagai rakan strategik utama dalam mempromosikan
kempen TMM 2026 serta mengangkat industri pelancongan digital negara ke pentas
antarabangsa.
-berita harian online.