Monday, 16 June 2025

Merapoh syurga gua batu kapur

 

MERAPOH bukan sekadar pekan kecil di daerah Lipis, tetapi lokasi yang menjadi sempadan dua negeri itu diiktiraf sebagai taman warisan geologi yang terbesar di Malaysia.

Di situ terdapat lebih 500 gua batu kapur dengan anggaran usia lebih 130 juta tahun, malah sebahagiannya dikesan mempunyai lukisan purba berusia antara 100 hingga 200 tahun.

Aktivis alam sekitar tempatan, Sabrie Zoo, 44, berkata, usaha pencarian gua di kawasan itu sudah dimulakan sejak 2011 dan sehingga kini, sebanyak 187 berjaya direkodkan.

Bagaimanapun, tidak semua gua itu dibuka kepada pelancong, sebaliknya hanya 12 sahaja boleh dikunjungi.

Sabrie berkata, gua di Merapoh boleh dianggap sebagai 'syurga' bagi pengkaji dan peminatnya, kerana memiliki ruang dalaman yang luas selain formasi batuan unik ditambah struktur geologinya.

"Antara gua menarik yang sering menjadi tumpuan ialah Gua Air Mata Duyung. Ia dikenali dengan keindahan formasi stalaktit dan stalagmit selain kolam air jernih.

"Gua Seribu Cerita pula menjadi tumpuan kerana kewujudan lukisan purba di dinding gua.

"Penerokaan gua itu juga agak mencabar kerana pelawat perlu merangkak, memanjat dan berenang berdasarkan kedudukan dan bentuk gua," katanya.

Selain itu Gua Hari Malaysia turut menarik perhatian pengunjung kerana di dalamnya terdapat sungai sepanjang satu kilometer, air terjun, dan kolam semula jadi.

Gua Hantu Menari pula menjadi tarikan perhatian pengunjung kerana kemunculan cahaya semula jadi yang membentuk bayangan seperti lembaga sedang menari.

"Keunikan gua-gua ini menyebabkan ia dimasukkan di bawah kategori sendiri misalnya ada gua untuk pendidikan, pengembaraan selain fotografi dan arkeologi.

" Gua Jinjang Pelamin misalnya, sangat popular dalam kalangan jurufoto profesional kerana formasi dalaman yang indah dan lukisan purba pada dindingnya," katanya.

Bagaimanapun, gua batu kapur bukan satu-satunya tarikan di Merapoh. Sebaliknya pekan berjarak 77 kilometer dari Kuala Lipis itu turut menawarkan keindahan alam semula jadinya.

Hal ini diakui pemandu pelancong, Husnan Husin, 42, yang kerap membawa pengunjung menerokai ' Tree Top Walk Merapoh', iaitu laluan kanopi atau jambatan gantung sepanjang 612 meter yang dibina oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Katanya, laluan itu dibina pada ketinggian antara lima hingga 23 meter dari permukaan tanah, membolehkan pelawat merasai pengalaman berjalan di atas pokok sambil menikmati keindahan hutan hujan tropika dari perspektif unik.

"Tidak jauh dari situ, Taman Negara Sungai Relau berfungsi sebagai pintu masuk utama ke Gunung Tahan, gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia dengan ketinggian 2,187 meter.

"Lokasi ini adalah destinasi wajib bagi pendaki tegar yang ingin menawan puncak tanah tinggi yang mencabar itu," katanya.

Selain itu katanya, sungai-sungai di situ turut menarik minat mereka yang gemar berkayak kerana laluannya mencabar adrenalin.

Untuk rekod, Taman Negara Sungai Relau terletak kira-kira tujuh kilometer dari Merapoh. Ia adalah salah satu pintu masuk ke Taman Negara Pahang yang menawarkan pelbagai aktiviti seperti pendakian ke Gunung Tahan, safari malam, penjelajahan gua, dan pemerhatian hidupan liar.

Laluan pendakian dari Sungai Relau ke Gunung Tahan mengambil masa sekitar lima hari dan dikenali sebagai salah satu laluan pendakian paling mencabar di negara ini.

Anak tempatan, Muhammad Hafizi Ilminuddin Zulkapli, 31, berkata keunikan kampung halamannya itu turut menarik pelancong antarabangsa. Berdasarkan pengalamannya membawa pelancong asing, sebahagian mereka datang dari Belanda, Austria, Jerman dan Croatia.

Katanya, kebanyakan pelancong itu mengakui gua di Eropah umumnya berstruktur bawah tanah, namun gua di Merapoh terbentuk di atas permukaan tanah dan menyerupai bukit, sekali gus memberikan pengalaman berbeza.

Bagaimanapun katanya, dari satu segi hubungan erat antara kerajaan, ahli akademik, serta masyarakat setempat perlu menjadi asas dalam memelihara dan memajukan kawasan itu.

Ketika ini katanya, kekurangan infrastruktur pelancongan masih menjadi cabaran utama, khususnya dari segi kemudahan penginapan seperti asrama dan chalet, ketiadaan fasiliti mencukupi mengekang pelancong untuk menetap lebih lama dan meneroka lebih banyak gua.

"Untuk ke kawasan gua, pelancong perlu menyewa kenderaan pacuan empat roda dan bagi mereka yang serius untuk mengkaji gua, masa yang panjang diperlukan.

"Dalam sehari, mereka hanya sempat masuk empat hingga lima gua sahaja," katanya.

Tempoh itu katanya hanya membenarkan lawatan singkat, pengalaman dan pemahaman terhadap struktur geologi serta sejarah gua sangat terhad dan hanya menjadi ruang untuk merakam gambar sahaja.

-berita harian online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.