Tuesday, 3 June 2025

Pengusaha penginapan tidak berlesen jejas industri pelancongan Malaysia - MyBHA

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) mendakwa pengusaha penginapan jangka masa pendek (STRA) yang tiada lesen terus berleluasa menjalankan aktiviti penjualan dan promosi di platform Agensi Pelancongan Dalam Talian (OTA) sehingga mengancam pemain industri berdaftar.

Sehubungan itu, Presiden MyBHA, Dr Sri Ganesh Michiel, menggesa kerajaan segera bertindak tegas antaranya dengan mengawal selia STRA yang dilihat aktif mempromosikan perniagaan tidak berdaftar itu di media sosial.

Selain mengancam industri penginapan negara, beliau juga bimbang ia boleh menjejaskan reputasi pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026.

"Kewujudan unit STRA yang tidak berlesen dan tidak di kawal selia, termasuk apartmen, kondominium dan kediaman persendirian yang ditukar menjadi penginapan sementara mencetuskan ekonomi penginapan haram.

"Entiti ini beroperasi di luar rangka kerja undang-undang, tidak membayar lesen atau cukai, tidak terikat dengan aspek keselamatan serta menjejaskan pemain industri pelancongan sah yang telah banyak melabur bagi mematuhi undang-undang serta peraturan-peraturan sedia ada.

"Pengusaha STRA tidak berlesen ini sedang menghakis kredibiliti dan kelestarian ekosistem pelancongan Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ganesh Michiel mendakwa ketiadaan pemantauan yang berkesan terhadap kegiatan itu mengakibatkan pelbagai masalah termasuk risiko keselamatan kepada pelancong, akibat kegagalan pengusaha penginapan tidak berdaftar itu dalam mematuhi peraturan keselamatan kebakaran dan kesihatan.

Selain itu, beliau mendakwa kewujudan STRA mencetuskan gangguan terhadap komuniti kediaman akibat penginapan sementara yang tidak dikawal.

"STRA juga mengakibatkan kehilangan hasil cukai kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan Persekutuan. Ia turut boleh mencetuskan penyelewengan harga pasaran yang merugikan pengusaha hotel yang sah;

"Kita juga bimbang STRA membiarkan pelancong terdedah kepada penipuan dan premis yang tidak selamat kerana mempunyai perlindungan pengguna yang lemah," katanya.

Bagi menangani isu berbangkit, beliau turut menyarankan penubuhan satu jawatankuasa khas dianggotai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk segera memperkenal serta menguatkuasakan undang-undang bagi pengoperasian STRA.

Beliau mencadangkan PBT diberi kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang secara konsistem tanpa menjejaskan perniagaan hotel berlesen.

"Jawatankuasa itu disarankan untuk menetapkan standard operasi dan keselamatan minimum bagi semua penyedia penginapan," katanya.

-berita harian online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.