KUCHING: Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), terus komited dalam usaha memelihara dan memartabatkan warisan seni kraf negara menerusi penganjuran Pameran Karya Agung – Seni Kraf Warisan Negara yang berlangsung di Borneo Cultures Museum (BCM) di sini, bermula 30 Mei hingga 25 Julai ini.
Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), MOTAC, Datuk Mohd Yusri Mohd
Yusoff, berkata julung kali diadakan di Sarawak, pameran itu menampilkan 56
koleksi kraf tekstil hasil sentuhan seni lima Tokoh Kraf Negara (TKN) dan 20
Adiguru Kraf (AGK) yang menjadi tonggak kelestarian industri kraf negara.
Antara hasil seni yang diketengahkan termasuklah Songket, Tenun
Pahang Diraja, Tekatan, Sulaman Nyonya, Tenunan Pua, Mugah, Rungus, Dastar,
Siambitan, Linangkit dan Sulaman Pis yang mencerminkan kekayaan identiti budaya
daripada pelbagai etnik di Malaysia.
Mohd Yusri berkata, selain BCM, Pameran Karya Agung diadakan di dua lagi lokasi utama iaitu di Muzium Kraf, Kompleks Kraf Kuala Lumpur sehingga 31 Disember 2025 dan Muzium Negara sehingga 30 Jun 2025.
"Pameran itu turut diadakan di Muzium Negara di Kuala Lumpur
yang berlangsung sehingga 30 Jun ini," katanya selepas mengadakan sesi
walkabout Pameran Karya Agung-Seni Kraf Warisan Negara di BCM.
Turut serta pada sesi itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Kraftangan Malaysia, Abdul Halim Ali serta Ahli Lembaga Pengarah Kraftangan Malaysia, Rolland Duat Jubin.
Mohd Yusri berkata, setakat 15 Jun lalu, jumlah keseluruhan
pengunjung di tiga lokasi pameran itu mencecah 80,898 orang.
"Angka itu cukup membanggakan kerana ia jauh lebih tinggi
daripada jangkaan apabila 162 peratus melebihi sasaran awal 50,000 pengunjung.
Mohd Yusri berkata, sebagai usaha melestarikan dokumentasi seni kraf negara, Kraftangan Malaysia turut mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan inisiatif pendigitalan maklumat kraf warisan.
Kod QR pada setiap koleksi
"Usaha ini bertujuan memastikan maklumat seni, budaya dan warisan kraf dapat dipelihara secara sistematik dan mudah diakses generasi kini dan akan datang.
"Antara pendekatan pendigitalan yang diperkenalkan termasuk penggunaan Kod QR pada setiap koleksi pameran, penggunaan Augmented Reality (AR) bagi koleksi terpilih serta Interective Touch Panels di Muzium Kraf Kuala Lumpur," katanya.
Selain itu katanya, pendigitalan juga diperluaskan dengan menjadikan Muzium Kraf Kuala Lumpur yang boleh diakses dari mana-mana sahaja menerusi platform digital.
"Pameran Karya Agung bukan sahaja memperlihatkan keindahan dan ketelitian seni kraf tempatan, malah memperkukuh jati diri serta semangat cintakan warisan.
"Dengan sambutan yang menggalakkan dan inisiatif teknologi
terkini, usaha Kraftangan Malaysia ini dilihat mampu menjadi pemangkin kepada
pembangunan industri kraf yang lebih mampan, dinamik dan dikenali di persada
dunia," katanya.
Sementara itu, mengenai pengiktirafan Adiguru Kraf, beliau berkata,
sehingga kini seramai 73 orang telah diiktiraf sejak 1987.
-berita harian online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.