Wednesday, 30 April 2025

Tourism Malaysia sasar 45 juta pelawat, pulangan RM270 bilion

 

Penggiat industri pelancongan Perak hadir pada sesi libat urus yang dianjurkan Tourism Malaysia sebagai persediaan TMM2026 di Ipoh.

IPOH – Tourism Malaysia menyasarkan kutipan hasil pelancongan RM270 bilion dengan kehadiran 45 juta pelawat asing sepanjang tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia, Shahrin Mokhtar, berkata sasaran tersebut dilihat mampu dicapai berdasarkan perkembangan positif setakat ini apabila negara merekodkan ketibaan 6.7 juta pelawat asing sehingga Februari lalu.

“Jumlah ini mencatatkan peningkatan 31.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu serta peningkatan 14.5 peratus berbanding tempoh sama pada 2019.

“Pada 2024 sahaja, negara menerima kehadiran 38 juta pelawat asing iaitu lonjakan 31.1 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya ketika Sesi Libat Urus Bersama Penggiat Industri Pelancongan Negeri Perak di sini pada Selasa.

Turut hadir, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid.

Menurut Shahrin, sebanyak 10 pasaran utama menyumbang jumlah ketibaan tertinggi ialah dari Singapura, Indonesia, China, Thailand, Brunei, India, Filipina, Korea Selatan, Australia dan Taiwan.

Tambahnya, kerjasama erat antara sektor awam dan swasta amat penting bagi memastikan kejayaan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

“Beberapa sesi libat urus bersama negeri sedang dilaksanakan bagi memperkukuh persediaan menjelang TMM2026, di samping membina momentum merealisasikan agenda nasional ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan sebanyak RM130 juta diperuntukkan tahun ini dalam bentuk geran sokongan bagi merangsang pertumbuhan industri pelancongan.

Antara geran tersebut termasuk Geran Galakan Melancong (GAMELAN), Geran Sokongan Sektor Pelancongan (GSSP) dan Geran Sektor Penerbangan dan Charter (GSPC).

“Diharapkan penggiat industri memanfaatkan peluang ini untuk menganjurkan acara serta aktiviti promosi yang mampu menyemarakkan sambutan TMM2026,” ujarnya. 

Sementara itu, Loh Sze Yee berkata, kerajaan negeri menyalurkan peruntukan tambahan RM4 juta bagi menaik taraf dan menambah baik infrastruktur pelancongan di seluruh negeri sebagai sebahagian persiapan menyambut TMM2026.

“Kami berharap Tourism Malaysia dapat terus membantu mempromosikan pelancongan negeri ini melalui platform nasional dan antarabangsa.

“Kami juga memohon Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mempertimbangkan pemberian geran serta bantuan kepada pemain industri supaya mereka dapat terus berkembang, berinovasi dan menarik lebih ramai pelancong,” katanya.

-Sinar Harian.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.