Wednesday, 9 April 2025

Penggemar selam skuba Malaysia lebih gemar pilih destinasi tempatan - Agoda

 

Gambar hiasan. Peserta 'Bidong Merdeka Dive,'.

KUCHING: Tinjauan terbaru yang dilakukan oleh platform pelancongan digital Agoda mengenai 'Tawaran Selam Skuba 2025' mendedahkan fakta menarik tentang destinasi selam skuba yang menjadi kegemaran penggemar aktiviti bawah laut di Asia. 

Ia meskipun Indonesia menduduki tempat pertama sebagai destinasi selam skuba paling popular di Asia, warga Malaysia ternyata lebih memilih destinasi tempatan sebagai pilihan utama mereka. 

Menurut tinjauan yang membabitkan 850 orang penyelam skuba dari 11 negara di Asia, Indonesia tetap menjadi destinasi utama di rantau ini, terkenal dengan biodiversiti marin yang menakjubkan dan terumbu karang yang indah.

Walau bagaimanapun, hasil tinjauan ini turut menunjukkan bahawa Malaysia semakin mendapat tempat di hati penyelam tempatan, yang mengutamakan keindahan khazanah marin negara mereka.

Dari sudut pandangan penggemar selam skuba Malaysia, keindahan dan keunikan alam marin tempatan menawarkan lebih banyak daya tarikan. 

Walaupun Indonesia kekal di tempat pertama dalam kalangan pelancong Asia, Malaysia berjaya mendahului negara-negara lain seperti Thailand, Filipina, dan Vietnam di kalangan warga Malaysia sendiri.

"Kami melihat kecenderungan yang jelas dalam kalangan penyelam Malaysia yang lebih memilih untuk meneroka destinasi tempatan. Malaysia menawarkan beberapa lokasi menyelam yang luar biasa seperti Pulau Sipadan dan Pulau Layang-Layang yang memiliki keindahan alam laut yang setanding dengan destinasi terkenal di dunia," kataPengarah Negara Agoda untuk Malaysia dan Brunei, Fabian Teja dalam satu kenyataan. 

Tinjauan ini turut mengungkapkan bahawa lebih daripada 30 peratus penyelam menyatakan tujuan utama mereka adalah untuk melarikan diri dari tekanan harian dan mencari ketenangan di dasar laut. 

Faktor santai menjadi pendorong utama dalam pemilihan destinasi menyelam mereka. 

Sementara itu, hampir 24 peratus daripada responden menekankan minat mereka terhadap keindahan dan kepelbagaian hidupan laut sebagai alasan utama mereka menceburi aktiviti ini. 

Walaupun harga menjadi pertimbangan utama dalam memilih penginapan, sebanyak 40 peratus responden menyatakan mereka sanggup mengeluarkan bajet lebih besar, sekitar 15 peratus hingga 30 peratus lebih banyak berbanding percutian biasa, untuk menikmati pengalaman menyelam skuba yang tidak terlupakan. 

"Ini jelas menunjukkan komitmen penyelam untuk mendapatkan pengalaman terbaik, walaupun dengan kos yang lebih tinggi," katanya. 

Sebanyak 75 peratus responden menyatakan minat mereka untuk menyelam di kawasan terumbu karang. Keindahan alam bawah laut yang kaya dengan pelbagai jenis terumbu karang berwarna-warni menjadikan kawasan ini pilihan utama para penyelam. 

Asia, khususnya Asia Tenggara, terus menjadi salah satu destinasi terbaik di dunia untuk aktiviti menyelam skuba.

-berita harian online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.