KANGAR, 22 April 2025 – Tourism Malaysia hari ini menganjurkan program seminar bagi membuka peluang kerjasama strategik yang boleh dijalinkan bersama penggiat industri di samping mengenal pasti produk-produk pelancongan berpotensi di negeri Perlis dan Kedah sekali gus menyemarakkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Program yang dinamakan “What’s Up Northern” Siri 1 (Perlis & Kedah) itu menghimpunkan seramai 60 peserta terdiri daripada rakan-rakan industri pelancongan daripada kedua-dua buah negeri dengan melibatkan beberapa perkongsian pembentangan berkaitan aktiviti pembangunan dan promosi produk-produk pelancongan melalui platform media sosial.
Abdul Hadi Che Man, Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara berkata, penekanan diberikan kepada promosi produk-produk pelancongan yang berpotensi untuk diketengahkan serta dipakejkan bagi menarik kunjungan pelawat domestik dan antarabangsa.
“Penganjuran seminar ini dapat membantu para penggiat industri untuk menjana idea baharu selain berkongsi pengalaman dalam industri pelancongan. Selain itu, para peserta juga berpeluang untuk memperkenalkan produk masing-masing di samping mencari rakan kerjasama strategik untuk sama-sama memajukan industri pelancongan.
“Kita juga optimis bahawa program seumpama ini dapat membentuk sinergi yang lebih kukuh antara agensi pelancongan negeri dan pusat serta merangka strategi lebih berkesan dalam menyokong perencanaan kempen VM2026,” katanya.
Para pembentang
yang dijemput untuk siri kali ini terdiri daripada syarikat profesional dalam
bimbingan aktiviti luar, Pretty World Resources, komuniti astronomi Sahabat
Langit Utara (SALUT), Sahril Pekan Enterprise yang mempromosikan Teluk Intan
River Cruise, Klook dan Persatuan Pemandu Pelancong Kedah/Perlis.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.