PETALING JAYA – Jepun, Malaysia dan Thailand menduduki carta tertinggi dalam data carian platform Agoda sekali gus menjadi destinasi pilihan utama pelancong Asia.
Merujuk data carian platform percutian digital global, Agoda, Jepun muncul sebagai destinasi dengan carian tertinggi diikuti Malaysia, Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam, Korea Selatan dan Filipina.
Ketua Pegawai Eksekutif Agoda, Omri Morgenshtern, berkata, pada tahun ini, data menunjukkan bahawa ramai pelancong memilih percutian ke destinasi berhampiran di negara jiran untuk perayaan sempena sambutan Tahun Arnab.
“Ia merupakan perkembangan yang sangat baik kerana keyakinan pelancong terhadap percutian antarabangsa dapat dikembalikan terutamanya dalam pasaran Jepun, Korea dan Taiwan yang baru dibuka.
“Kami menjangkakan berlaku lonjakan dalam perjalanan dari negara China, apabila Thailand, Macau, Taiwan, Hong Kong dan Jepun kembali dalam senarai destinasi idaman bagi Tahun Baru Cina ini,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.
Walau bagaimanapun, kata beliau, ia mungkin terlalu awal untuk menjangkakan pemulihan yang sepenuhnya memandangkan cabaran yang melibatkan kapasiti dan harga penerbangan.
Di Malaysia, tarikan warisan budaya dan suasana kota yang meriah menjadikan Kuala Lumpur sebagai destinasi paling popular, diikuti dengan Melaka dan Pulau Pinang yang menduduki tempat kedua dan ketiga.
Manakala di Thailand, Bangkok berjaya menduduki tempat pertama, diikuti oleh bandar pesta pantai Pattaya dan Chiang Mai yang kaya dengan budaya.
Namun begitu, trend ini tidak ketara dalam kalangan pelancong dari China dan Jepun yang menggemari destinasi percutian beriklim panas dan lebih memilih Thailand sebagai destinasi pilihan berbeza dengan pelancong dari Thailand yang menggemari negara beriklim sejuk.
-kosmo online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.