imej: Bertam Souk & Water Park, Penang fb |
KEPALA BATAS: Taman tema air Bertam Souk and Water Park di sini, yang sebelum ini diarahkan ditutup kini dibenarkan beroperasi semula.
Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dalam kenyataan memaklumkan, taman tema air itu boleh beroperasi semula selepas permohonan yang dibuat pihak pengurusan untuk mendapatkan lesen telah diluluskan semalam.
Katanya, kelulusan untuk mendapatkan lesen premis dan hiburan itu diberikan pada tarikh sama kelulusan sijil penyiapan dan pematuhan (CCC) untuk taman tema itu diperoleh.
“Sehubungan itu, pihak majlis (MBSP) mengharapkan pembukaan semula taman tema air ini dapat memberi manfaat kepada pengunjung.
“Pada masa sama, ia sekali gus dapat menjadi tarikan pelancongan yang baharu di kawasan Seberang Perai,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Pada 28 Disember lalu, MBSP mengarahkan Bertam Souk & Water Park ditutup buat sementara waktu selepas didapati beroperasi tanpa lesen di bawah Enakmen Hiburan Dan Tempat-tempat Hiburan 1998.
Ia susulan pemeriksaan dan semakan yang dijalankan beberapa kali oleh Jabatan Pelesenan MBSP bermula 16 Disember lalu.
Difahamkan, taman tema air bernilai kira-kira RM90 juta yang mulai beroperasi sejak pertengahan Disember di atas tanah seluas lebih lapan hektar itu dimiliki oleh syarikat The Maritime Water Front Suites Sdn. Bhd.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.