Saturday, 14 January 2023

Buka semua kaunter Imigresen di lapangan terbang – MOTAC

 

TIONG King Sing mengadakan tinjauan ke KLIA, Sepang. - GAMBAR IHSAN MOTAC

PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mahu semua 40 kaunter imigresen di lapangan terbang antarabangsa dibuka bagi melancarkan aliran tinggi kemasukan pelancong ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pihaknya juga mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) menambah laluan pemeriksaan Imigresen di lapangan terbang antarabangsa itu.

Beliau berkata, bilangan laluan pemeriksaan Imigresen di lapangan terbang antarabangsa perlu ditambah kepada enam berbanding empat ketika ini.

“Pada masa ini terdapat 40 kaunter imigresen tetapi hanya 20 kaunter yang dibuka. Jika ia dapat dibuka, ia pasti dapat memendekkan proses pemeriksaan imigresen untuk jumlah penumpang yang ramai.

“Berdasarkan tinjauan baru-baru ini, empat saluran sedia ada tidak mencukupi bagi melengkapkan prosedur pelepasan imigresen dengan kecekapan tinggi dan masa yang singkat,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, pihaknya menerima aduan daripada penumpang berhubung proses pelepasan imigresen yang mengambil masa lebih satu jam untuk diselesaikan.

King Sing berkata, beliau juga dimaklumkan, ada penumpang yang mengadu mereka terkandas di lapangan terbang selama tiga jam.

Menurutnya, antara punca utama isu itu adalah sistem sedia ada yang tidak dikemas kini dan ketinggalan zaman justeru, ia perlu ditambah baik segera demi kelancaran di lapangan terbang antarabangsa.

“Saya juga menyeru kepada jabatan dan agensi berkaitan untuk mencari penyelesaian penambahbaikan dan berusaha memendekkan masa ketika proses pemeriksaan ini.

“Kita harus sedar sektor pelancongan adalah kunci kepada pemulihan ekonomi negara dan lapangan terbang adalah lokasi ‘first impression’ yang akan dilalui oleh pelancong apabila mereka tiba di negara ini,” katanya.

Selain itu, beliau difahamkan, Malaysia Airports Holdings Bhd (Malaysia Airports) bersetuju untuk menambah tiga bahasa lain pada sistem digital di lapangan terbang iaitu bahasa Cina, Melayu dan Inggeris.

Menurutnya, Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Iskandar Mizal turut mempertimbang menambah terjemahan bahasa Arab dalam masa terdekat bagi memastikan maklumat disampaikan lebih tepat dan difahami pelancong asing.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.