Tuesday 17 January 2023

Pembangunan Pekan Lama Ipoh tidak roboh bangunan warisan

 


IPOH: Pembangunan di lokasi tumpuan pelancong di kawasan Pekan Lama di sini akan mengekalkan bangunan warisan yang sedia ada.


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee berkata, kerajaan negeri dan Majlis Bandar Raya Ipoh (MBI) dalam perancangan untuk membangunkan kawasan itu bagi menarik lebih ramai pelancong.


Menurutnya, pembangunan lebih sistematik sedang dirangka di kawasan pekan lama Ipoh.


“Antaranya kami sedang cuba memindahkan beberapa aktiviti pelancongan ke Lorong Seni dan sebanyak 15 gerai akan dibuka di sini.


“Apabila kita merancang, kita perlu melihat kesan kepada kawasan itu. Pekan Lama masih mempunyai banyak pejabat dan mungkin ada masalah jika semua aktiviti tertumpu di sana,” katanya kepada pemberita pada perasmian Bazar Tahun Baharu Cina di Lorong Seni di sini hari ini.


Menurutnya, Gerbang Komersial Paloh yang telah dilancarkan pada Jumaat lalu juga akan menjadi satu lagi destinasi pelancongan di negeri ini.


Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, Pekan Lama Ipoh tetap akan menjadi kawasan bersejarah dan struktur lama di kawasan itu tidak akan dirobohkan.


“Struktur luar bangunan tetap akan dipelihara kecuali bahagian dalaman yang akan dimodenkan mengikut trend semasa,” katanya.


Rumaizi berkata, MBI juga sedang menaik taraf kawasan Segi Tiga Pelancongan Ipoh bagi memulihkan industri pelancongan tempatan bagi menarik pelancong tempatan dan asing.


“Pembangunan di Pekan Lama Ipoh ini akan tertumpu kepada dua aspek iaitu berkaitan dengan pelancongan warisan dan ‘hipster’.


“Kita akan fokus kepada aspek ini untuk menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini. Kita telah mewartakan bangunan lama di Pekan Lama Ipoh, jadi kita mesti memeliharanya.


“Sebagai contoh di London, semua struktur luar bangunan lama dikekalkan tetapi bukan bahagian dalaman,” katanya.


Katanya, beberapa hotel dan pusat penginapan di sini juga akan direka bentuk semula dengan menggunakan konsep yang sama.


“Pekan Lama Ipoh adalah bahagian asal bandar raya Ipoh yang dibangunkan pada tahun 1880-an.


“Kawasan Segi Tiga Pelancongan Ipoh ini merangkumi kawasan Gunung Lang, Ipoh Padang, Taman Dr Seenivasagam termasuk Pekan Lama Ipoh, Kampung Kuchai dan Masjid Paloh,” katanya.


Rumaizi berkata, pelan Segitiga Pelancongan Ipoh dijangka siap pada 2025, dengan peningkatan dan pengubahsuaian berterusan.


“Bagi kos pembiayaan adalah daripada inisiatif pihak kerajaan termasuk swasta dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA),” katanya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.