Menikmati kehijauan alam semula jadi dengan ditemani bunyi unggas dan kicauan burung sememangnya mendamaikan jiwa.
Lebih menarik jika kala berehat dan menikmati pemandangan itu, kita terserempak pula dengan pelbagai jenis spesies burung yang kian jarang ditemui termasuk burung pekaka paruh pendek dan kelicap mayang kelapa.
Bagi merealisisasikan perkara tersebut, anda tidak perlu pergi jauh apatah lagi memasuki hutan kerana ada lokasi berhampiran ibu kota yang dikhaskan buat pengunjung untuk ‘bertemu’ dengan lebih 200 spesies burung sedemikian.
Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Perbadanan Putrajaya (PPj), Norzita Abdul Razak berkata, pihaknya kini menawarkan aktiviti ekopelancongan urban birding pertama di Malaysia bagi mempromosi pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu.
Urban birding bermaksud aktiviti bertemu pelbagai jenis burung di dalam bandar secara terbuka.
Kepelbagaian sumber makanan yang banyak selain kawasan hijau yang sentiasa bersih menjadi faktor utama beberapa lokasi di Putrajaya menjadi habitat serta pusat migrasi lebih 200 spesies burung.
“Antara kawasan dijadikan persinggahan dan habitat burung di Putrajaya adalah Tasik Wetland Putrajaya (TWP), Taman Botani, Taman Rimba Alam dan pulau kecil di Presint 16.
“Kawasan ini menjadi habitat dan persinggahan burung yang sebahagiannya terdiri daripada burung hijrah yang jarang ditemui,” katanya.
Tambahnya, sebahagian burung berkenaan boleh ditemui sepanjang masa, manakala spesies burung hijrah pula boleh dilihat dengan banyak bermula September hingga November.
“Titian kanopi di Taman Botani adalah pilihan terbaik kepada pemerhati burung bagi mengintai kelibat sebahagian 200 spesies burung yang boleh ditemui di sini.
“Bagi memperluas aktiviti urban birding, PPj bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Nature Educational Society (Nest) bertujuan mewujudkan suatu kumpulan komuniti tempatan yang peka terhadap kepelbagaian spesies burung.
“Antara aktiviti disediakan adalah seperti bengkel ‘backyard buddy’ yang dapat memainkan peranan aktif sebagai kumpulan sokongan dalam menjayakan urban birding di Putrajaya,” katanya.
Jelas Norzita lagi, tidak sekadar hanya menikmati keindahan flora dan fauna, peminat burung juga boleh merakam gambar di habitat burung secara terbuka.
Katanya, habitat burung di Putrajaya adalah destinasi yang sempurna untuk dihayati bagi pencinta alam semula jadi yang ingin ‘melarikan’ diri sebentar daripada kesibukan kota.
“Kepelbagaian burung yang terdapat di sini sering menjadi tumpuan kaki burung dan jurufoto untuk merakam gambar haiwan berkenaan di samping menghayati pemandangan menakjubkan.
“Lebih mengujakan, sebuah pulau kecil yang terletak di Presint 16 menjadi tarikan dan destinasi persinggahan bangau sehingga ada yang membuat sarang, sekali gus dapat mempelbagaikan produk pelancongan.
“Bangau dapat dilihat berterbangan sambil mencari makan di tasik berkenaan dan sebelum ini jumlahnya tidak banyak, namun sejak beberapa tahun lalu populasinya semakin bertambah,” jelasnya.
-kosmo online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.