KUALA LUMPUR, 13 Julai 2022 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Tourism
Malaysia hari ini melancarkan Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 (PRE2.0) bagi
Kluster Penginapan dalam usaha menyemarakkan pelancongan domestik seiring
peralihan ke fasa endemik.
Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 yang merupakan
kesinambungan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 1.0), adalah salah satu
inisiatif di bawah Pelan Pemulihan Industri Pelancongan yang melibatkan
penyaluran insentif kepada rakyat Malaysia dalam bentuk diskaun, baucar dan
rebat.
Di bawah Kluster Penginapan, dianggarkan seramai
33,830 rakyat Malaysia berpeluang menebus tawaran e-baucar bernilai antara RM50
sehingga RM100 menerusi pembelian bilik penginapan hotel secara atas talian
melibatkan hotel-hotel seluruh Malaysia bermula 15 Julai 2022 sehingga 31
Disember 2022. Penebusan adalah terhad untuk tiga kali penebusan sahaja bagi setiap
pemilik MyKad.
Antara pusat penginapan yang terlibat adalah
hotel-hotel di bawah Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Pemilik Hotel
Malaysia (MAHO), Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) dan
Rangkaian Hotel Seri Malaysia (HSM).
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato'
Sri Hajah Nancy Shukri berkata, pelancaran inisiatif ini bertujuan menarik
minat orang ramai khususnya Keluarga Malaysia untuk terus membuat tempahan
bilik penginapan hotel pada harga diskaun yang istimewa dan seterusnya
melaksanakan aktiviti pelancongan domestik.
“Kerjasama strategik yang dijalinkan oleh
Tourism Malaysia bersama persatuan-persatuan ini disasarkan untuk merangsang
kembali pemulihan industri pelancongan sekali gus menyumbang kepada pemulihan
ekonomi negara secara keseluruhan,” katanya.
Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan Persatuan
Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) akan menawarkan e-baucar
bernilai RM100 dengan nilai pembelian minimum RM150 untuk 19,900 pembeli
terawal manakala Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) menawarkan
e-baucar bernilai RM50 dengan nilai pembelian minimum RM60 untuk 7,960 pembeli.
Kesemua e-baucar boleh diperolehi di aplikasi Shopee.
Rangkaian Hotel Seri Malaysia (RHSM) pula menawarkan
rebat bernilai RM50 dengan nilai pembelian minimum RM170 (bilik standard) atau RM210 (bilik keluarga) untuk 5,970 pembeli
terawal. Tempahan di Rangkaian Hotel Seri Malaysia boleh dibuat secara jumpa
terus (walk-in), e-mel atau telefon.
MOTAC melalui agensi promosi Tourism Malaysia
telah melancarkan program PRE2.0 pada 17 Mei 2022 yang memberikan tawaran
diskaun dan rebat di bawah sektor persatuan agensi pelancongan, pengangkutan
darat, taman tema, selam skuba, inap desa dan pengangkutan udara.
Secara keseluruhannya, Program Pelan Pemulihan
Pelancongan (PRE2.0) ini akan memberikan manfaat kepada semua Warga Keluarga
Malaysia untuk menikmati inisiatif yang telah ditawarkan oleh pihak Kerajaan
Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.