Tuesday 26 July 2022

Pewartaan Taman Laut Negara di Melaka selesai hujung tahun

 


MELAKA: Proses pewartaan Taman Laut Negara melibatkan tiga pulau premium negeri ini iaitu Pulau Undan, Pulau Nangka dan Pulau Dodol kini diperingkat akhir dan dijangka dapat diisytiharkan selewat-lewatnya hujung tahun ini. 

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, ia telahpun diluluskan di peringkat kerajaan negeri dan sedang diperhalusi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Beliau berkata, untuk merealisasikan hasrat itu, pihaknya telah mengeluarkan peruntukan bernilai RM1 juta merangkumi projek melabuhkan tukun tiruan konservasi di kawasan terlibat.

“Pulau Undan, Pulau Nangka dan Pulau Dodol sebenarnya kaya dengan habitat dan mempunyai satu khazanah tersendiri iaitu terumbu karang yang unik di peringkat antarabangsa.

“Jadi kita telah cadangkan untuk ia diwartakan dan kini proses pewartaan itu berada di peringkat akhir, pulau-pulau ini nanti dijaga dengan baik termasuk larangan aktiviti perikanan dalam jarak satu batu nautika,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Tukun Tiruan dan Mengelilingi Pulau-pulau Taman Laut Melaka di Pulau Undan di sini, hari ini.

Pada program itu, sebanyak sembilan tukun tiruan konservasi dilabuhkan di kawasan Pulau Nangka melibatkan peruntukan berjumlah RM300,000.

Untuk rekod, Pejabat Perikanan Melaka mula melabuhkan tukun di kawasan perairan Pulau Besar pada 2008, 2009, 2010 dan 2020 dengan jumlah keseluruhan sebanyak 57 unit melibatkan kos RM910,000.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, ketiga-tiga pulau berkenaan akan dilindungi di bawah Seksyen 41 Akta Perikanan 1985 (Akta 317).

“Melalui pewartaan ini, kelestarian kepelbagaian biodiversiti marin di kawasan perairan Melaka akan terjamin bagi mencapai obligasi negara di peringkat antarabangsa, iaitu Aichi Biodiversity Targets di bawah Convention on Biological Diversity.

“Terdapat 13 lagi pulau lain termasuk Pulau Hanyut, Pulau Lalang dan Pulau Serimbun yang dilihat berpotensi dibangunkan sebagai produk pelancongan,” jelasnya. 

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.