Saturday, 16 July 2022

Promosi Diskaun 10% Pakej Durian Tourism

 


GEORGETOWN, 15 Julai 2022 - Tourism Malaysia hari ini melancarkan promosi diskaun 10% bagi Pakej Durian Tourism dalam usaha memeriahkan dan mempromosikan musim durian di negeri-negeri di Wilayah Utara.

Kempen berlangsung dari 1 Julai sehingga 31 Ogos 2022 merupakan kerjasama antara Tourism Malaysia dengan lima pengendali pelancongan iaitu Kurma Travel & Tours Sdn. Bhd, Adventure360 Tours Sdn. Bhd, Time Free Vacation Sdn. Bhd, M.Maha-Izah Transport & Tours Sdn. Bhd dan Asia Gateway Tours.

Pembangunan Pakej Durian Tourism ini menggabungkan elemen ekopelancongan, agropelancongan, arkeopelancongan dan pengembaraan lasak. Tawaran melibatkan Pakej 2 Hari 1 Malam (2H1M) dari RM290 seorang dan Pakej 3 Hari 2 Malam (3H2M) dari RM388 seorang dengan tempahan minimum empat orang bagi setiap pakej.

Majlis pelancaran kempen tersebut telah berlangsung di Hin Bus Depot, Pulau Pinang dan dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Haji Zainuddin Abdul Wahab, Ketua Pengarah Tourism Malaysia. Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Encik Shahrin Mokhtar, Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej, Tourism Malaysia.

Zainuddin berkata, sekurang-kurangnya 500 pakej disasarkan terjual sepanjang tempoh promosi berlangsung dengan jangkaan pulangan sebanyak RM100,000.

“Kita berharap promosi kempen Pakej Durian Tourism ini dapat kita perluaskan dengan penglibatan lebih banyak pengendali pelancongan bukan sahaja di negeri-negeri di Wilayah Utara tetapi juga di seluruh Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan melalui Tourism Malaysia sentiasa bersedia untuk membantu mempromosikan pakej-pakej seumpama ini yang memberikan manfaat secara langsung kepada para pelancong serta pemain industri pelancongan terlibat.

Maklumat lanjut berkenaan pakej-pakej yang ditawarkan boleh diperoleh menerusi laman web Tourism Malaysia di www.malaysia.travel. Malaysia Truly Asia - The Official Tourism Website of Malaysia


-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.