Monday, 18 July 2022

Bekas balai polis diberi nafas baharu, jadi tarikan pelancong

 


KOTA TINGGI: Nafas baharu yang diberikan ke atas bekas balai polis Kota Tinggi di sini, berjaya menjadikan kawasan tersebut sebagai lokasi wajib dikunjungi bagi mereka yang datang ke daerah ini.


Setiausaha Persatuan Pelancongan Kota Tinggi, Rafeah Mohd. Noah berkata, bekas balai polis yang kini dikenali sebagai Pusat Informasi dan Pelancongan (TIC) Kota Tinggi merupakan sebuah pusat informasi di bawah Tourism Johor dan diuruskan oleh Persatuan Pelancongan Kota Tinggi.


“Ia juga dijadikan sebagai pusat sehenti bagi produk-produk industri kecil dan sederhana (IKS), kraf tangan dan cenderamata, pakej-pakej pelancongan dan aktiviti-aktiviti pelancongan serta rekreasi.


“TIC juga menjadi sebuah lokasi untuk mempromosikan aktiviti pelancongan serta penyebaran maklumat pelancongan yang terdapat di daerah Kota Tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.


Antara pengisian dan aktiviti yang terdapat di TIC Kota Tinggi adalah studio cerita rakyat Kota Tinggi, studio Amazing Kota Tinggi, Rumah Ngopi Cafe, bot tour Sungai Johor dan pelbagai lagi.


Lebih menarik adalah ‘Balai Cafe’ yang memberi pengalaman kepada pengunjung untuk merasai pengalaman makan di dalam lokap.


“Kebanyakan pengunjung yang datang memberi pandangan teruja dapat makan di balik tirai besi. Kita memang mengekalkan konsep balai polis yang ada agar pengunjung teruja dan dapat merasai sendiri makan di dalam lokap.


“Terdapat pelbagai pilihan makanan yang berkonsepkan ‘vendor food’ yang rata-rata menampilkan memori masa lalu seperti aiskrim Malaysia yang terdapat di sini.


“Pelbagai produk IKS dihasilkan warga Kota Tinggi juga boleh diperoleh di sini. Ini merupakan salah satu usaha untuk merancakkan aktiviti pelancongan di Kota Tinggi, TIC Kota Tinggi juga berkolaborasi dengan operator- operator pelancongan yang ada di Kota Tinggi bagi bersama-sama membangun dan mempelbagaikan aktiviti pelancongan di daerah ini,” katanya.


Jelasnya, TIC juga berfungsi sebagai pusat pengumpulan data bagi pengunjung tempatan mahupun luar negara yang datang ke Kota Tinggi dan yakin pelbagai tarikan yang terdapat di daerah itu mampu menarik lebih ramai pelancong. 

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.