Wednesday, 27 July 2022

Pahang sasar 8 juta pelancong tahun ini

 


RAUB: Pahang optimis mampu mencapai sasaran lapan juta pelancong ke negeri ini menjelang akhir tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, angka tersebut dilihat relevan apabila jumlah kedatangan pelancongan setakat ini sudah merekodkan peningkatan sebanyak 21 peratus.

Menurutnya, bagi suku kedua tahun ini, seramai 2.23 juta pelancong telah berkunjung ke Pahang berbanding 1.84 juta tempoh sama tahun lalu.

“Pembukaan sempadan serta peralihan ke fasa endemik telah menunjukkan perkembangan positif dan menggembirakan penggiat industri pelancongan secara keseluruhannya.

“Pembukaan kembali produk-produk pelancongan seperti Taman Eko-Rimba Mossy Forest, Menara Kuantan 188 dan pelbagai lagi akan menarik lebih ramai pelancong ke Pahang,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutupan Pertandingan Mengenal Burung Antarabangsa Bukit Fraser 2022 yang ke-33 di sini.

Berangkat mencemar duli menyempurnakan majlis penutupan program tersebut, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. 

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim.

Program tersebut berjaya mendapat penyertaan 70 kumpulan dari seluruh Malaysia dan juga beberapa penyertaan dari luar negara seperti Thailand, Singapura, India, Myanmar, Vietnam, Filipina dan New Zealand.

Acara ini secara tidak langsung dapat mempromosikan Bukit Fraser kepada peminat burung tempatan dan luar negara sebagai salah satu destinasi melihat burung terbaik di Semenanjung.

Sementara itu, Kamaruddin berkata, Bukit Fraser merupakan salah sebuah lokasi berprestasi tinggi untuk melihat burung yang terdapat di Pantai Timur di mana lebih 250 spesis burung direkodkan berada di sini. 

Jelasnya, terdapat juga burung-burung migrasi di Bukit Fraser yang terbang dari Siberia Utara Rusia dan rangkaian Pulau di Utara Selatan dari bulan Oktober hingga April.

“Kebiasaannya, spesies burung penghijrah ini akan tinggal sekitar Bukit Fraser untuk beberapa bulan sebelum berhijrah ke arah Selatan Australia dan New Zealand.

“Justeru, dengan cara dan usaha ini sekali gus dapat memelihara dan memulihara Bukit Fraser sebagai sebuah pusat santuari burung di Malaysia agar ianya dapat dikekalkan untuk generasi akan datang,” katanya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.