LANGKAWI: Arca dasar laut yang berkonsepkan mitos dan legenda Langkawi menjadi tarikan baharu pulau peranginan ini dan tersenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR) selepas diiktiraf sebagai Most Underwater Sculptures melalui penghasilan 14 buah arca.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Nancy Shukri berkata, program pelancongan berasaskan komuniti di Pengkalan Kubang Badak itu adalah salah satu usaha bagi memperkasa ekosistem seni dan pelancongan negara.
“Arca dasar laut ini adalah elemen visual baharu dalam penciptaan konten dan kehebatan cerita tentang mitos serta legenda Langkawi dengan kerjasama pengarca dan pelukis bersama komuniti setempat.
“Reka bentuk dan bahan yang digunakan menjadi perumah baharu kepada ekologi marin seterusnya mewujudkan jaringan kelestarian kepada kehidupan marin, komuniti setempat serta pelancongan Langkawi,” katanya semasa majlis perasmian program itu di Pengkalan Kubang Badak hari ini.
Yang hadir sama Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Saraya Arbi; Exco Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Kedah, Mohd. Firdaus Ahmad; Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), Datuk Indera Dayang Fatimah Tom Abang Saufi dan Ketua Pengarah LPSVN, Amerrudin Ahmad.
Program pelancongan berasaskan komuniti dilancarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui agensinya, Balai Seni Negara.
Program ini melibatkan sembilan seniman tempatan yang berpengalaman terdiri daripada Tengku Sabri Tengku Ibrahim, Abdul Multhalib Musa, Ahmad Fuad Osman, Dr. Zainuddin Abindinhazir, Low Chee Peng, Maxine Xie Xian Xin, Mohd Al Khuzairie Ali, Mohd Radzi Ismail, dan Umibaizurah Mahir.
Nancy berkata, Pengkalan Kubang Badak dan Tanjung Rhu akan menjadi tumpuan pelancong dengan wujudnya produk ekopelancongan baharu itu seterusnya membantu meningkatkan rantaian ekonomi komuniti setempat.
“Menerusi program ini, diharap dapat terus menyuntik semangat para artis tempatan untuk terus berkarya dan membantu komuniti setempat serta mendidik masyarakat dengan memberi pendedahan tentang objek seni umum.
“Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pembersihan pulau pasir dan program permukiman seni pulau pasir juga diadakan selama empat hari bersama pemenang Bakat Muda Sezaman 2021.
“Keseluruhan data ekosistem seni di seluruh negara adalah sebanyak 1,302 dan karya awam sebanyak 286 termasuk arca-arca yang dipetakan di perairan Pulau Langkawi,” katanya.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.