Saturday 18 June 2022

Waldorf Astoria Kuala Lumpur mula operasi 2024

 

PETALING JAYA: Waldorf Astoria Hotels & Resorts, satu mercu kemewahan hotel di bawah rangkaian Hilton melebarkan sayap perniagaan ke Malaysia melalui Waldorf Astoria Kuala Lumpur.


Dijadualkan dibuka pada 2024, hotel mewah tersebut akan dibangunkan dan dimiliki oleh Tradewinds Corporation Berhad serta diuruskan oleh Hilton.


Ia meneruskan proses kemasukan jenama tersebut ke destinasi tumpuan seperti Sydney, Tokyo, Osaka dan Jakarta serta menyertai portfolio Waldorf Astoria Hotels & Resorts di Asia Pasifik termasuk Maldives, Bangkok, Beijing serta Shanghai.


Naib Presiden Kanan Pembangunan Hilton bagi Asia dan Australasia, Guy Phillips berkata,  pihaknya sangat teruja untuk mengembangkan perkongsian dengan Tradewinds dalam melancarkan hotel pertama Waldorf Astoria Hotels & Resorts di Malaysia.


“Sebagai salah satu daripada pintu masuk utama Asia, Kuala Lumpur dan Malaysia amnya sentiasa menjadi pasaran keutamaan bagi Hilton.


“Waldorf Astoria Kuala Lumpur ialah penambahan hebat kepada rangkaian jenama kami di sini dan kami berharap untuk mengembangkan lagi jejak kami sambil mengalu-alukan lebih ramai tetamu dengan layanan mesra Hilton,” katanya dalam kenyataan.


Dengan proses pengubahsuaian dan pembinaan yang dijadualkan bermula pada suku ketiga tahun ini, tetamu boleh menantikan hiasan dalaman dan perabot direka khas dalam setiap 279 suite Waldorf Astoria Kuala Lumpur.


Saiz bilik bermula dari 76 meter persegi, sekali gus menawarkan tetamu ruang mewah untuk berehat dan bersantai.


Hotel mewah terletak di segi tiga emas Kuala Lumpur itu juga akan menampilkan kecemerlangan kulinari melalui lima restorannya yang tersendiri termasuk Peacock Alley, lounge dan bar ikonik yang sinonim dengan jenama Waldorf Astoria, serta pusat kesejahteraan yang canggih.


Dengan penyediaan ruang mesyuarat seluas 3,390 meter persegi, termasuk dewan seluas 1,845 meter persegi, Waldorf Astoria Kuala Lumpur bakal menjadi tempat yang sesuai untuk perayaan dan acara bertaraf dunia.


Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tradewinds, Muhammad Zainal Ashikin berkata, pihaknya berbesar hati untuk melanjutkan perkongsian dengan Hilton dan membawa jenama ikonik Waldorf Astoria Hotels & Resorts ke Malaysia.

“Kami percaya usaha ini akan memberikan nilai tambah yang tinggi dan meningkatkan tawaran hospitaliti negara kepada kedua-dua pelancong perniagaan dan percutian, serta mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongan utama dunia,” katanya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.