Sunday, 26 June 2022

Kerajaan tumpu usaha bantu promosi perniagaan inap desa

 

HASBI Habibollah mencuba peralatan mengopek durian pada program Visit My Kampung@Homestay Pulau Betong, di Pulau Betong, Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.

BALIK PULAU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan menumpukan usaha membantu pengusaha inap desa di seluruh negara untuk mempromosikan kembali perniagaan mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hasbi Habibollah berkata, pandemik Covid-19 memberi impak ekonomi yang teruk kepada pengusaha-pengusaha inap desa, malah, ada antara mereka yang terpaksa menutup operasi akibat ketiadaan pelancong.

“Kita yakin pelancong akan kembali menginap dan memeriahkan aktiviti pelancongan berkonsepkan inap desa ini semula selepas kita berada pada pasca pandemik Covid-19.

”Selain menggunakan media sosial, KPLB turut mempromosi pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), ekspo-ekspo keusahawanan, pameran-pameran agensi, karnival usahawan desa (KUD) dan lain-lain,” katanya selepas merasmikan program Visit My Kampung@Homestay Pulau Betong, di sini hari ini.

Menurut Hasbi, pihaknya yakin pelancong asing akan terus memilih konsep inap desa di negara ini kerana pernah merasai pengalaman itu khususnya di kawasan kampung sebelum ini.

“Selain itu, setiap kawasan inap desa juga mempunyai tarikan yang tersendiri seperti di Balik Pulau yang tarikannya adalah durian,” katanya.

Tambah beliau, selain bantuan promosi daripada KPLB,  para pengusaha inap desa juga disarankan meningkatkan serta memperkemas infrastruktur di inap desa masing-masing untuk menyambut kedatangan pelancong.

”Pengusaha inap desa tahu apa yang pelancong mahukan dan mereka perlu tingkatkan infrastruktur sedia ada untuk kemudahan pelancong yang menginap di inap desa masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu tambah beliau, KPLB menerusi Lembaga Pembangunan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) memperuntukan geran sebanyak RM4.45 juta untuk Program Pelancongan Inap Desa di Pulau Pinang. 

Menerusi peruntukan tersebut katanya, sebanyak 173 buah inap desa dan peserta melibatkan 10 kampung mendapat manfaat menerusi program promosi, latihan dan bimbingan selain program pengurusan yang mampu menjana pendapatan tambahan untuk masyarakat luar bandar. 

“Peruntukan sebanyak RM4.45 juta yang diterima sejak 2014 daripada pelbagai agensi seperti Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang, KPLB dan PERDA ini membuktikan keprihatinan kerajaan dalam menjaga pengusaha inap desa pelancongan di negeri ini,” katanya.

Tambahnya, jumlah keseluruhan pendapatan peserta inap desa seluruh Pulau Pinang adalah RM 3.24 juta dengan 38,000 pelancong domestik dan antarabangsa menggunakan inap desa sejak program itu diperkenalkan pada 2014.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.