Wednesday 22 June 2022

Perodua Ativa menanti peserta Kejohanan Golf Tourism Selangor

 


PETALING JAYA: Kereta Perodua Ativa menanti peserta yang berjaya melakukan Hole-in-One di Kejohanan Golf Tourism Selangor yang akan berlangsung pada 23 Julai depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad berkata, kejohanan yang memasuki edisi ke-4 itu akan diadakan di Seri Selangor Golf Club (KGSS).

Azrul Shah berkata, seramai 120 peserta dijangka menyertai kejohanan yang berkonsepkan ‘Pusing Selangor Dulu’ kerana menampilkan lapangan golf yang berbeza pada setiap penganjuran.

“Tahun ini kami memilih KGSS sebagai gelanggang rasmi bagi kejohanan bagi edisi ke-4. Seperti tahun-tahun sebelumnya, kejohanan ini dianjurkan mengikut standard profesional.

“Di Selangor, kami mempunyai lapangan yang menggabungkan keindahan alam semulajadi dan juga cabaran ketika beraksi. Ia memang hari yang tepat untuk menyaksikan kejohanan golf yang menarik.

“Apa yang istimewa, selain memenangi beberapa kategori dalam kejohanan golf ini, pemain juga berpeluang meraih hadiah lumayan dalam sesi cabutan bertuah, manakala ganjaran bagi kategori Hole-in-One pula ialah Perodua Ativa,” katanya.

Menurut Azrul Shah, kejohanan itu menarik pemain industri pelancongan Selangor, pengurusan tertinggi dalam sektor swasta, pemain golf selebriti, ekspatriat, penaja kejohanan, peminat golf dan media serta pegawai daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Dengan konsep ‘Pusing Selangor Dulu’, kami menggalakkan peserta bukan sahaja menunjukkan kemahiran bermain golf mereka, tetapi juga melawat tapak pelancongan di sekitar padang golf yang kami pilih setiap tahun.

“Sebagai contoh, terdapat beberapa tarikan pelancongan di sekitar KGSS seperti Muzium Coklat di Kota Damansara, Kidzania, The Curve, 1 Utama, dan Tropicana Gardens,” katanya.

Dalam pada itu katanya, terdapat 29 kelab golf yang mengagumkan di Selangor dengan beberapa daripadanya telah memenangi anugerah sekali gus menjadi hab golf terkemuka dan terulung di Malaysia.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.