Monday, 7 February 2022

Timah Tasoh dulu terbiar kini lokasi pelancongan popular

 


PADANG BESAR: Dahulunya, empangan Timah Tasoh di sini hanya terbiar, namun sejak kebelakangan ini berubah wajah menjadi antara lokasi tarikan pelancongan paling popular di negeri ini yang menjadi tumpuan pengunjung dari seluruh negara.

Perubahan tersebut hasil inisiatif Kelab Rekreasi Timah Tasoh yang menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti kayak, bot pelancong dan tapak perkhemahan yang memberi 1,001 pengalaman cukup berharga kepada pelancong bagi menyaksikan keindahan alam sekitar dan panorama menarik di kawasan berkenaan.

Pelbagai aktiviti menarik yang diperkenal sejak enam bulan lalu itu disokong penuh oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri.

Dapat disaksikan keindahan Timah Tasoh yang sering kali tular dalam media-media sosial selain menarik ribuan pengunjung yang datang dari seluruh negara khususnya pada cuti hujung minggu dan musim cuti persekolahan.

Setiausaha Kelab Rekreaksi Timah Tasoh, Zaidi Shafie yang mengusahakan aktiviti kayak berkata, pihaknya bersama komuniti di sini yang kebanyakannya dalam kalangan nelayan air tawar mengambil inisiatif menyediakan pelbagai aktiviti menarik sekali gus merubah wajah Timah Tasoh.

Katanya, sejak aktiviti seperti kayak, bot pelancong dan lokasi perkhemahan disediakan, Timah Tasoh bertukar meriah selain membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

“Di sini saya sediakan enam kayak bagi memberi pengalaman baharu kepada pengunjung sambil menyaksikan keindahan alam semula jadi di sini.

“Kos yang dikenakan adalah serendah RM10 bagi setiap 30 minit. Selain menguji kekuatan fizikal, pengunjung juga berpeluang menikmati keindahan kawasan sekitar. Sambutan yang diterima cukup memberangsangkan khususnya pada cuti hujung minggu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Seorang pengusaha bot pelancong, Mohd. Muzamir Ismail,40, pula berkata, pengunjung dibawa meronda menikmati keindahan kawasan Timah Tasoh sambil merakam gambar.

Katanya, harga yang dikenakan hanya serendah RM50 bagi setiap 30 minit untuk enam penumpang setiap kali perjalanan.

“Kita turut membawa pengunjung ke lokasi-lokasi menarik untuk mengambil gambar dengan berlatarbelakangkan bukit yang menyaksikan pemandangan cukup indah dan memukau.

“Timah Tasoh sebelum ini terbiar dan terpencil dengan kaki-kaki pancing sahaja selalu datang, namun kini berubah wajah sepenuhnya dan menjadi antara lokasi pelancongan paling popular di negeri ini,” katanya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.