Tuesday 8 February 2022

MPN setuju sempadan negara dibuka 1 Mac

 

image: Pelancongan Kini

PUTRAJAYA: Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersetuju supaya sempadan negara dapat dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac ini tanpa keperluan kuarantin wajib.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagaimanapun, ujian Covid-19 sebelum berlepas dan sejurus tiba di pintu sempadan negara perlu dilakukan mengikut syor Kementerian Kesihatan (KKM) sekali gus perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa.

“Ini melibatkan semua negara kerana Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan tadi, sekiranya nak pilih (negara), Omicron ini sudah ada di seluruh dunia. 

“Bagaimanapun, ada perkara yang akan diumumkan nanti seperti peraturan, saringan Covid-19, tak perlu kuarantin dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

 Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan taklimat oleh Khairy pada mesyuarat tersebut, sistem kesihatan awam masih mampu menguruskan kes Covid-19 berikutan banyak pengalaman sudah dilalui sebelum ini.

“Walaupun kes sekarang meningkat, namun kapasiti yang ada dapat menampung jumlah pesakit. Ini bermakna proses pemulihan ekonomi akan dapat dipercepatkan, manakala pelabur dan pelawat asing boleh masuk ke negara ini. 

“Industri pelancongan akan pulih semula dan boleh ‘terbang’ semula tetapi dalam masa sama, kita perlu pastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi,” ujarnya.

 Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, dalam mesyuarat tersebut, MPN turut mencadangkan supaya pelarasan bagi semua bantuan kewangan oleh pelbagai pihak dapat dilaksanakan secara sistematik bagi meningkatkan penggunaan sumber lebih optimum, bersasar dan berlandaskan keperluan.

Ujarnya, ia bagi mengelakkan berlaku pertindihan sekali gus lebih ramai pengusaha terjejas dapat terus menerima bantuan.

“Selain itu, majlis mengambil maklum industri pembinaan negara pada masa ini menghadapi isu kenaikan harga bahan binaan, kekurangan pekerja asing dan turut terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Majlis juga mengambil maklum industri pembinaan amat penting bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negara dalam proses pemulihan negara. Justeru, majlis menyokong cadangan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) untuk penyelesaian segera dan jangka masa panjang bagi isu yang lebih struktural,” katanya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.