Sunday 13 February 2022

Jerai Geopark disasar jadi Global Geopark

 


SUNGAI PETANI: Jerai Geopark yang terletak  di daerah Kuala Muda dan Yan disasarkan menjadi Global Geopark bertaraf dunia menjelang tahun 2025.

Pengurus Jerai Geopark yang juga Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) Mohd. Amin Ali berkata pihaknya bersama Majlis Daerah Yan (MDY) kini berhasrat untuk menjadikan kawasan berkenaan sebagai yang ketiga di Malaysia.

Menurutnya, dua kawasan yang telah diiktiraf sebagai Global Geopark ialah Geopark Langkawi, Kedah dan Geopark Kinabalu di Sabah.

Beliau berkata, kawasan berkenaan kini berjaya mengekalkan status Jerai Geopark Kebangsaan untuk tempoh empat tahun lagi.

“Bagaimanapun pihaknya tidak mahu terus ‘terlekat’ di peringkat kebangsaan dan menyasarkan untuk naik taraf ke peringkat dunia menjelang tahun 2025, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Ekspolarasi Berkayak Sungai Merbok@Jerai Geopark 2022 di Kompleks Pelancongan Jeti Sungai Merbok, Semeling dekat sini hari ini.

Pelepasan peserta kayak itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit.

Program berkayak menyelusuri Sungai Merbok sejauh 19 Kilometer (KM) itu telah disertai oleh 40 orang perserta lelaki dan perempuan dari Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Selangor.

Beliau berkata, pelbagai usaha telah lakukan untuk mencapai hasrat tersebut dengan sokongan penuh daripada Kerajaan Negeri Kedah, termasuk penubuhkan unit tetap pengurusan kawasan berkenaan dilengkapi pasukan penyelidik.

Jelasnya, setakat ini terdapat lima kriteria di kawasan Geopark Jerai yang berupaya diangkat sebagai tarikan pelancongan.

“Pertama, batuan mineral yang terdapat di Gunung Jerai berusia lebih 500 juta tahun, kedua ialah pokok bakau di Sungai Merbok yang mempunyai lebih 42 spesies pokok bakau dan kita sedang usahakan untuk mendapat pengiktirafan khusus untuk bakau melalui program Man and Biosphere (MAB) Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

“Ketiga ialah tapak arkelogi Tamandun Kedah Tua di Sungai Batu, yang bertaraf antarabangsa dan keempat ialah keunikan budaya setempat seperti makanan dan pakaian dan kelima kesan bencana alam iaitu bencana Tsunami di Kuala Muda dan bencana kepala air di Titi Hayun, Yan yang boleh dijadikan tarikan pelancongan geo-bencana,” katanya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.