Saturday, 19 February 2022

Berkayak menelusuri terowong belah bukit batu kapur berusia 500 juta tahun

 


KANGAR: Menelusuri terowong membelah bukit batu kapur berusia 500 juta tahun dengan kayak di terusan Kampung Wai, Kuala Perlis sehingga Kampung Tebing Tinggi, Bintong sejauh 765 meter menjadi tarikan baharu pengunjung di Terusan Kampung Wai di sini.

Istimewanya, aktiviti kayak sambil menikmati keindahan panorama seperti bukit dan sawah padi di kawasan itu adalah yang pertama di Malaysia, hasil inisiatif lima anak muda dari Kayak Dahagi Perlis.

Lima rakan baik tersebut iaitu Aniq Izanif Mahar Effendi, 36; Taqril Tahir, 42; Mohd. Azrif Md. Amin, 29; Amir Aziz, 45, dan Mohd. Nadzri Mohd. Radzi, 42, memperkenalkan aktiviti tersebut sejak tahun lalu, sekali gus membantu menghidupkan kawasan berkenaan sebagai salah satu tarikan baharu pelancongan di Perlis.

Keindahan kehijauan air di terusan tersebut sambil me­nik­mati suasana sejuk dan nyaman di dalam terowong berkenaan membuatkan pengunjung me­rasai pengalaman baharu yang cukup berharga.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, Aniq Izanif berkata, se­panjang diperkenalkan, aktiviti tersebut mendapat sambutan memberangsangkan khususnya membabitkan pengunjung dari luar negeri ini.

Katanya, sebanyak 15 kayak disediakan bagi pengunjung menyertai trip di terusan berke­naan.

Jelasnya, sebelum ini, Terusan Kampung Wai agak terpencil sebelum mereka mengambil inisiatif membantu menghidupkan kawasan berkenaan dengan aktiviti kayak.

“Kita akan membawa pe­ngunjung menelusuri terowong air terpanjang di Malaysia sejauh 765 meter dari Kampung Wai sehingga Kampung Tebing Tinggi. Sepanjang laluan terusan tersebut, pengunjung akan menikmati keindahan airnya yang kehijauan dan kebiruan selain panorama indah bukit batu kapur berusia lebih 500 juta tahun dan sawah padi.

“Terusan ini sangat indah dan cantik, namun sebelum ini, tidak ada yang tahu termasuk penduduk negeri ini sendiri. Aktiviti kayak ini adalah yang pertama di Malaysia dengan menjanjikan 1,001 pengalaman baharu cukup berharga,” katanya.

Tambahnya, bayaran dikenakan serendah RM80 bagi satu trip untuk satu individu selama empat jam selain disediakan sijil penyertaan, sarapan pagi serta makan te­ngah hari.

“Kita juga sediakan pemandu secara percuma kepada pengunjung dengan minimum dua kayak dan maksimum sebanyak lima kayak bagi trip,” katanya.

Rakannya, Taqril pula berharap kerajaan dapat membantu menyediakan stor menyimpan kayak, lampu di terowong selain kemudahan tandas awam kerana lokasi tersebut berpotensi besar menjadi lokasi baharu tarikan pelancongan.

Orang ramai juga boleh melayari Facebook Kayak Dahagi Perlis untuk maklumat lanjut selain melihat aktiviti kayak di terusan itu.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.