17 Oktober 2021 - YAB Perdana Menteri Malaysia pada 15 Oktober 2021
telah mengumumkan kebenaran bagi pergerakan Keluarga Malaysia ke luar negara
untuk mengerjakan umrah bermula 18 Oktober 2021 yang mana tentunya satu berita
yang sangat ditunggu-tunggu oleh umat islam di negara ini. Selama dua (2) tahun
ibadah umrah tidak dapat dilakukan akibat penutupan sempadan negara dan
larangan oleh negara Arab Saudi untuk mengerjakan haji dan umrah kepada semua
negara. Pengumuman ini juga tentunya disambut dengan gembira oleh 444 buah
syarikat pengendali umrah yang berlesen di bawah Kementerian ini.
Walau bagaimanapun, selaras dengan Peraturan
6(1A)(a), Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] yang mana menyatakan
‘Pengendali pelancongan berlesen tidak boleh mengiklankan pakej yang ditawarkan
tanpa kelulusan Pesuruhjaya Pelancongan’. Sehubungan itu, sebagai salah satu
inisiatif untuk menangani kes-kes penipuan pakej umrah, Kementerian ini telah
mewajibkan agar mana-mana syarikat yang dilesenkan untuk memohon kebenaran bagi
mengiklankan promosi umrah. Kementerian telah mengadakan sesi libat urus
bersama-sama dengan persatuan-persatuan pengendali umrah iaitu PAPUH, MATTA DAN
BUMITRA untuk membantu pihak MOTAC merangka dan memperhalusi isu pengiklanan
umrah ini. Berdasarkan sesi-sesi libat urus yang telah dijalankan,
persatuan-persatuan berkaitan memahami dan menyokong inisiatif yang
dilaksanakan oleh MOTAC demi memelihara kepentingan Keluarga Malaysia dan juga
pemain industri umrah itu sendiri.
Sehingga kini, Kementerian ini telah menerima
sebanyak 31 permohonan iklan. Setiap iklan yang diluluskan akan diberikan
Nombor Siri Khas iklan umrah yang perlu dipaparkan di iklan-iklan yang akan
dipromosi. Ini bertujuan untuk membantu Kementerian ini mengenalpasti
iklan-iklan haram pakej umrah. Borang permohonan iklan ini boleh di muat turun
daripada laman web rasmi Kementerian di www.motac.gov.my.
Kementerian juga telah berbincang dengan
persatuan-persatuan berkenaan bagi menetapkan harga lantai umrah yang mana
penetapan kali terakhir ialah pada tahun 2017 iaitu pada paras harga
RM4,900.00. Walau bagaimanapun, selaras dengan perkembangan semasa, terdapat
peningkatan kos memandangkan pelaksanaan SOP sama ada di pihak Arab Saudi atau
di pihak kerajaan Malaysia. Antara faktor-faktor yang mempengaruhi peningkatan
kos adalah bilangan kapasiti di dalam bilik penginapan di Arab Saudi, kapasiti
pergerakan pengangkutan yang membenarkan 50% dari jumlah kapasiti sebenar dan
pengurusan mutawif serta ujian swab COVID-19. Harga Lantai yang telah
dipersetujui untuk pengerjaan umrah untuk 12 hari dan 10 malam ialah
RM6,900.00. Harga Lantai akan disemak semula apabila wabak COVID-19
diisytiharkan berakhir dan keadaan sudah kembali normal yang mana kekangan SOP
tidak lagi dilaksanakan oleh pihak Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.
Harga ini juga merupakan panduan bagi pihak
Kementerian dalam melaksanakan pemantauan terhadap industri umrah manakala
orang ramai boleh menjadikannya sebagai panduan dalam membuat pertimbangan
dalam memilih syarikat mana yang sesuai dengan bajet mereka. Orang ramai boleh
mengambil langkah berhati-hati jika didapati harga yang ditawarkan terlalu
rendah atau terlalu tinggi daripada yang telah ditetapkan bagi mengelak kes-kes
penipuan pakej umrah. Orang ramai boleh menghubungi pejabat MOTAC negeri atau
melayari laman web rasmi MOTAC bagi mengenalpasti syarikat-syarikat yang telah
dilesenkan.
MOTAC mengucapkan selamat mengerjakan ibadah umrah
kepada Keluarga Malaysia yang bertuah dan terus mematuhi SOP yang telah
ditetapkan oleh kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.
-MOTAC.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.