Friday, 15 October 2021

Ekspresi Media Tingkatkan Promosi Pelancongan Langkawi

 


LANGKAWI, 14 Oktober 2021 – Seramai 11 pengamal media terdiri daripada agensi media cetak, elektronik, dan media baharu menyertai program Ekspresi Media Langkawi 2021 anjuran Tourism Malaysia selama empat hari bermula 11 hingga 14 Oktober 2021 yang julung-julung kalinya diadakan dengan kerjasama syarikat penerbangan AirAsia.


Program tersebut yang berlangsung serentak dengan hari pertama kebenaran rentas negeri serta pembukaan semula sektor pelancongan domestik di seluruh negara, antara lain bertujuan mengembalikan keyakinan rakyat untuk melancong selain menguar-uarkan jaminan produk pelancongan bersih dan selamat di Langkawi dalam amalan norma baharu.


Memasuki edisi kelima, program Ekspresi Media pada kali ini masih mengekalkan konsep lawatan suai kenal interaktif dengan mengetengahkan produk berasaskan pengalaman pelancongan (experiential tourism).


Para peserta memulakan pengembaraan dengan menaiki pesawat AirAsia ke Langkawi sebelum dibawa ke Jeti Pelancongan Pekan Rabu menerusi perkhidmatan e-hailing terbaharu, AirAsia Ride bagi meneroka Pulau Tuba.


Di Pulau Tuba, para peserta dibawa meninjau lokasi pelancongan desa serta menelusuri laluan pendakian bagi melihat formasi batuan batu kapur di Bukit Kecik.


Hari kedua pengembaraan menyaksikan para peserta meneroka Biogeotrail Kubang Badak dengan menaiki bot bagi menelusuri kawasan paya bakau di Sungai Siam, menjejaki geotapak Gua Pinang serta peninggalan tapak kebuk arang lama yang dianggarkan berusia 100 tahun di Kampung Siam.


Projek Biogeotrail Kubang Badak menerusi Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila memenangi Pacific Asia Travel Association (PATA) Gold Awards 2021 di bawah kategori Heritage Award, baru-baru ini.


Dalam pada itu, para peserta turut berpeluang menikmati pemandangan panorama 360 darjah Langkawi apabila dibawa menaiki kereta kabel tercuram serta jambatan gantung melengkung terpanjang di dunia iaitu SkyBridge sepanjang 125 meter yang terletak 650 meter dari aras laut.


Turut diatur ialah aktiviti mengelilingi pulau (island hopping) dengan menaiki jet ski, lawatan di sekitar Pekan Kuah termasuk Balai Seni Negara Langkawi serta penginapan berkonsepkan rumah tradisional di Kunang-Kunang Heritage Villas.


Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Tourism Malaysia, Datin Rafidah Idris berkata, diharapkan impak perkongsian pengalaman oleh para peserta media ini dapat merancakkan lagi aktiviti promosi pelancongan domestik melalui perencanaan kempen Cuti-Cuti Malaysia di pelbagai platform media sekali gus menggalakkan rakyat Malaysia untuk kembali melancong bagi menyokong pemulihan industri pelancongan negara.

Sementara itu, Ketua Komersil Serantau AirAsia, Mai Yin Tan pula berharap rakyat Malaysia tidak akan ragu-ragu untuk kembali memilih penerbangan bersama AirAsia dengan jaminan standard keselamatan tertinggi seiring pelan mitigasi COVID-19 pihaknya dalam menerima penumpang lengkap divaksinasi selain mewajibkan proses daftar masuk secara kendiri menerusi airasia Super App yang telah diintegrasikan dengan status vaksinasi melalui MySejahtera.

-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.