Sunday 31 October 2021

Pakej Cuti Penjawat Awam & Pesara Kerajaan

 


31 Oktober 2021 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui agensinya Tourism Malaysia hari ini melancarkan Pakej Cuti Penjawat Awam dan Pesara Kerajaan melibatkan produk-produk pelancongan di seluruh negara dalam usaha meningkatkan pelancongan domestik.

Program yang mendapat kerjasama Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) itu telah dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri di Hotel Perdana, Kota Bharu, Kelantan.

Sebanyak 457 pakej telah dibangunkan melibatkan produk-produk pelancongan dari seluruh Malaysia dengan tawaran harga pakej serendah RM120 seorang. Tempoh sah pakej adalah sehingga 30 Jun 2022.

Antara produk pelancongan yang tersenarai ialah Putrajaya, I-City Shah Alam, Genting Highland, Sky Bridge KLCC, Sky Mirror Kuala Selangor, Taman Negara Endau Rompin, Taman Negara Mulu, Royal Belum, Kilim Geoforest Park, Danum Valley, Wakaf Che Yeh, Taman Tamadun Islam dan banyak lagi.

Maklumat lanjut berkenaan pakej-pakej yang ditawarkan boleh diperoleh dengan melayari laman web Tourism Malaysia di https://deals.malaysia.travel/deals.

-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.