Wednesday, 27 October 2021

MOTAC Anjur Minggu Budaya Malaysia 2021

 


25 Oktober 2021 - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menganjurkan Minggu Budaya Malaysia (MBM) 2021 secara hybrid, bermula pada hari ini 25 Oktober sehingga 30 Oktober 2021.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, YB Dato' Sri Hajah Nancy Shukri dalam ucapan pelancarannya berkata program ini adalah merupakan permulaan sebagai salah satu usaha awal bagi menterjemahkan strategi Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021 yang akan dilancarkan pada 26 Oktober 2021.

Minggu Budaya Malaysia ini dijadikan signature programme Kementerian sebagai wadah manifestasi kepelbagaian seni budaya dan warisan di Malaysia dengan cara menyediakan ruang bagi mengekspresi keragaman budaya. Program ini juga mendorong interaksi budaya dalam usaha memperkukuhkan kebudayaan secara inklusif.

Bertemakan "Bangkit Asal", ia membawa maksud mengangkat atau menghidupkan kembali seni budaya dan warisan negara. Bahkan, inisiatif berterusan Minggu Budaya Malaysia ini turut menyumbang kepada memperkukuhkan promosi budaya Malaysia dipersada dunia khususnya kepada para pelancong luar negara.

Menurut YB Dato' Sri Hajah Nancy, kesatuan daripada pelbagai kebudayaan di Malaysia yang mewakili setiap kaum dan orang asal yang mempunyai nilai, unsur, dan sejarah masing-masing telah melahirkan kepelbagaian produk kebudayaan yang unik di bawah segmen produk pelancongan-budaya. Produk-produk ini dipakejkan sebagai produk pelancongan Malaysia yang mempunyai daya tarikan yang tersendiri.

Program ini melibatkan sepuluh (10) Jabatan/Agensi di bawah MOTAC yang mempunyai signature produk masing-masing. Agensi-agensi tersebut adalah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Jabatan Muzium Malaysia, Jabatan Warisan Negara, Arkib Negara Malaysia, Perpustakaan Negara Malaysia, Istana Budaya, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Balai Seni Visual Negara, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) serta penglibatan Tourism Malaysia.

Pelbagai aktiviti menarik telah diatur oleh setiap agensi sebagai pengisian menerusi platform Facebook MOTAC serta laman sesawang khusus yang telah dibangunkan iaitu www.mbm2021.com, bermula pada 25 hingga 30 Oktober 2021, mulai jam 2.00 petang hingga 6.00 petang sepanjang tempoh tersebut.

Aktiviti-aktiviti yang akan dipersembahkan adalah berkaitan pengarkiban, pendidikan seni budaya dan warisan, seni persembahan, seni visual, kandungan manuskrip terpilih, seni dan budaya yang berteraskan akar budaya Malaysia, video-video berkaitan pengiktirafan oleh UNESCO, artifak dan sejarah Negara, serta penjenamaan Malaysia sebagai ‘Top of The Mind Ecotourism Destination of the World'.

"Dengan adanya program seperti ini, ia diharapkan dapat terus menyemarakkan semula industri pelancongan dan kebudayaan negara dalam norma baharu. Saya percaya pelaksanaannya juga seiring dengan perancangan strategik dalam Pelan Pemulihan Pelancongan MOTAC bagi memperluaskan aspek promosi untuk menarik minat pelancong melawat Malaysia apabila pintu sempadan dibuka kelak," jelas YB Dato' Sri Hajah Nancy.

-MOTAC.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.