6 Oktober 2021 - Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato' Sri Hajah
Nancy Shukri telah mengadakan pertemuan secara maya bersama 43 orang Pengarah
Tourism Malaysia yang berada di pelbagai negara. Sesi perbincangan adalah
menjurus kepada potensi pembukaan semula aktiviti pelancongan antarabangsa
apabila pintu sempadan negara kembali dibuka kelak.
"Data yang kita perolehi daripada semua
Pengarah Tourism Malaysia luar negara akan dijadikan panduan untuk kita
mengenalpasti tahap kesediaan negara untuk menyasarkan pembukaan sektor
pelancongan antarabangsa. Ini dapat membantu kita untuk merangka kempen promosi
dan pemasaran bagi membolehkan pelancong luar negara menjadikan Malaysia
sebagai destinasi pilihan apabila sempadan negara dibuka nanti," kata YB
Dato' Sri Hajah Nancy.
Sesi libat urus ini juga membincangkan
perkara-perkara berkaitan peraturan kesihatan serta amalan terbaik yang
dilaksanakan oleh negara luar. Informasi seperti ini dapat membantu pihak MOTAC
dalam merangka mekanisme yang bersesuaian berhubung urusan kemasukan, faktor
kesihatan dan keselamatan, imigresen serta sistem penjejakan data. Perkara ini
seterusnya akan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk
dipertimbangkan sebelum keputusan membuka semula sempadan negara dibuat.
Sementara itu, antara isu yang dikemukakan oleh
Pengarah Tourism Malaysia Luar Negara adalah berkaitan tempoh kuarantin semasa
ketibaan, pengiktirafan vaksinasi dan SOP yang jelas untuk pelancong luar
negara.
Untuk rekod, industri pelancongan negara terjejas
teruk dalam tempoh pandemik ini dengan anggaran kerugian sebanyak RM135 bilion.
Jumlah ini dijangka meningkat kepada RM165 bilion pada tahun 2021.
YB Dato Sri Hajah Nancy turut berkata, Tourism
Malaysia perlu meningkatkan promosi berhubung keunikan Malaysia di persada
dunia seiring dengan tumpuan MOTAC terhadap cadangan pembukaan gelembung
pelancongan antarabangsa.
"Bagi mencapai sasaran kemasukan 16 juta
pelancong antarabangsa dan pendapatan sekurang-kurangnya RM45 bilion pada tahun
2025, kita perlu bersama-sama berganding bahu dan bekerja sebagai satu pasukan
demi mencapai matlamat memulihkan kembali industri ini seiring dengan tagline
MOTAC, Coming Back Stronger," jelas beliau.
Turut hadir dalam sesi libat urus berkenaan ialah
Datuk Wira Dr Noor Zari Hamat, Ketua Setiausaha MOTAC. Beliau turut menyatakan
bahawa promosi dan pemasaran perlulah mengangkat produk pelancongan yang lebih
baik terutamanya dalam aspek kelestarian pelancongan itu sendiri.
-MOTAC.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.