Taman haiwan berkonsepkan zoo mini, Disiniland
Agrofarm & Resort di Batu Kurau dekat Selama, Perak cukup unik untuk
dikunjungi, lebih-lebih lagi bagi mereka yang menyukai suasana hijau yang
nyaman dan tenteram.
Keunikannya bukan sahaja terletak kepada namanya
yang seakan-akan ‘Disneyland’ tetapi pengalaman yang bakal dinikmati pengunjung
sebaik sahaja melangkah masuk ke kawasan seluas 2.4 hektar itu.
Meskipun bukanlah seperti sebuah zoo yang dipenuhi
pelbagai spesies haiwan, tetapi Disiniland memberi pelbagai kelainan yang mampu
menggamit pengunjung untuk datang lagi ke kawasan yang dikelilingi kehijauan
itu.
Selain berpeluang dapat bermesra dan menyentuh
binatang yang dipelihara di situ seperti rusa, kuda, unta dan arnab secara
dekat, pengunjung juga boleh beriadah bersama keluarga.
Pemilik taman haiwan tersebut, Datuk Khairil Anuar
Akhiruddin @ Tokyee berkata, taman haiwan itu pada mulanya dibina hanya sekadar
untuk melayan hobi dan haiwan peliharaan keluarganya sahaja.
Bagaimanapun, Khairil Anuar berkata, idea
membangunkan taman itu kemudiannya tercetus apabila keluarganya melihat
sambutan yang menggalakkan daripada penduduk setempat.
“Kami sekeluarga memang tidak pernah merancang
untuk buka Disiniland. Asalnya taman tema ini hanya untuk tempat percutian
peribadi keluarga kerana kami suka suasana kampung.
“Namun lama-kelamaan keluarga saya mencadangkan
untuk membuka taman tema ini kepada orang ramai kerana sambutan yang
menggalakkan diterima daripada masyarakat setempat. Ramai yang suka datang
melihat haiwan-haiwan di sini,” katanya.
Ketika ditanya mengapa memilih nama Disiniland,
Khairil Anuar menjelaskan ia bertepatan dengan konsep yang ingin diketengahkan
seperti Disneyland tetapi lebih kepada zoo mini.
Khairil Anuar memberitahu, setakat hari ini
sebanyak 20 spesies haiwan antaranya kuda, unta, burung, rusa, arnab dan burung
unta dipelihara di taman haiwan tersebut.
Tambah beliau, bagi spesies burung sahaja, pihaknya
mempunyai 15 jenis spesies dan di Disiniland, pengunjung turut didedahkan
dengan kehidupan haiwan secara dekat, selain berpeluang menyentuh dan bergambar
dengan haiwan terlibat.
“Selain itu, di sini juga terdapat bermacam-macam
aktiviti lain iaitu menunggang kuda, memanah, All-Terrain Vehicle (ATV),memanah
berkuda, memancing ikan dan melihat secara dekat haiwan seperti unta, rusa,
burung unta dan lembu,” katanya.
Kata Khairil Anuar, binatang peliharaan di situ
cukup manja dan mesra dengan orang ramai dan ini secara tidak langsung
memudahkan pengunjung untuk menyentuh badan haiwan tersebut dan memberinya
makan.
Tambahnya, Disiniland dibuka dari pukul 10 pagi
hingga 6.30 petang pada hari biasa.
Manakala pada cuti umum atau hujung minggu pula,
taman tersebut dibuka pada pukul 9.30 pagi hingga 5.30 petang.
Harga tiket masuk ke Disiniland bagi pengunjung
berumur 13 hingga 59 tahun (RM4), manakala kanak-kanak berusia tiga hingga 12
tahun (RM2).
Selain itu, pihaknya turut mengenakan bayaran yang
berpatutan bagi aktiviti menunggang kuda dan memancing ikan.
“Resort ini juga menyediakan inap desa yang memberi
pengalaman serta suasana kampung kepada pengunjung berminat.
“Bagaimanapun ketika ini Disiniland ditutup untuk
kunjungan orang ramai bagi kerja-kerja penyelenggaraan serta pengubahsuaian dan
saya jangka, kerja-kerja ini akan selesai pada akhir tahun ini. Kita akan buka
semula selepas ini,” katanya.
Sebarang maklumat lanjut mengenai Disiniland boleh
didapati daripada laman sesawang di www.disiniland.com atau menghubungi talian
012-2481545.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.