PEMANDANGAN Pinnacles yang cukup memukau |
ANDA menggemari aktiviti lasak
dan mencari destinasi untuk diterokai, Taman Negara Mulu yang terletak di Miri,
Sarawak merupakan lokasi sesuai untuk dikunjungi.
Kawasan gunung batu kapur yang
diiktiraf sebagai salah satu Warisan Dunia itu menyediakan pakej lengkap bagi
pengemar aktiviti lasak seperti mendaki gunung, mengembara dan meneroka gua
yang mempunyai saluran serta kebuk terbesar di dunia.
Taman Negara Mulu juga dilihat
sesuai bagi warga bandar ‘melarikan diri’ daripada suasana kesibukan kota
metropolitan untuk menikmati keindahan alam semula jadi.
Baru-baru ini, penulis yang
merupakan seorang penggemar aktiviti lasak berkesempatan meneroka sendiri
keunikan dan keindahan biodiversiti yang terdapat di Taman Negara Mulu.
Dalam siri kembara itu,
penulis sempat menjelajah Gua Rusa atau lebih dikenali Deer Cave yang mempunyai
saluran gua terbesar di dunia.
Untuk tiba ke gua tersebut,
pengunjung perlu menyusuri laluan papan (plank walk) sejauh tiga kilometer
(km).
Suatu masa dahulu, sungai
bawah tanah mengalir di kawasan gua itu, sekali gus mencetuskan proses
penghakisan dan pelarutan batu kapur sehingga mewujudkan saluran terbesar
berkenaan.
Gua ini mempunyai kawasan
keluasan dua km panjang serta 90 meter tinggi dan lebar, manakala kebuk
utamanya mempunyai lebar 174 meter dan tinggi 122 meter.
Nama Gua Rusa atau Gua Payau
dalam bahasa Penan dan Berawan diberikan kepada gua terbabit kerana ia pernah
menjadi tempat berteduh kepada haiwan liar itu, suatu ketika dahulu.
Satu lagi keistimewaan gua
tersebut ialah berdekatan pintu masuknya terbentuk formasi berupa wajah bekas
Presiden Amerika Syarikat, Abraham Lincoln.
Difahamkan, terdapat jutaan
kelawar daripada kira-kira 12 spesies mendiami gua tersebut iaitu terbesar
direkodkan di dunia.
Berjarak kira-kira 100 meter
dari Gua Rusa, pengunjung akan menemui satu lagi gua lain iaitu Gua Lang yang
lebih kecil, tetapi mempunyai formasi batu yang menarik.
Sekiranya cuaca baik, antara
pukul 5 hingga 6.30 petang, pengunjung akan dapat menyaksikan kira-kira tiga
juta kelawar keluar dari gua tersebut untuk mencari makanan.
Selain itu, mendaki Gunung
Mulu dengan ketinggian 2,377 meter menjadi satu kemestian kepada pendaki dari
seluruh negara. Jarak laluan mendaki adalah 24 km sehala dan memerlukan masa
tiga hingga empat hari untuk perjalanan pergi dan balik.
Bukan itu sahaja, puncak
Pinnacles yang mempunyai ketinggian 1,200 meter turut menjadi lokasi yang wajib
dijejaki pendaki. Masa perjalanan untuk naik dan turun mengambil masa kira-kira
10 jam.
Sebenarnya, terdapat banyak
lagi tempat menarik di Taman Negara Mulu yang pastinya mampu menambat hati
pengunjung untuk datang kembali selepas kunjungan pertama.
Pengemar aktiviti lasak yang berminat
berkunjung ke Taman Negara Mulu perlu menaiki penerbangan MASwings sama ada
dari Miri ke Mulu atau Kuching ke Mulu.
Untuk keterangan lanjut,
bolehlah hubungi Taman Negara Mulu di talian 085-792300 atau melayari laman web
www.mulunationalpark.com.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.