PADANG TERAP 10 Jan. - Mahukan percutian di desa sambil mendidik
anak-anak mengenai rasa cinta terhadap alam dan haiwan? Cubalah berkunjung ke
Ladang Agro Semeliang yang terletak di Kampung Semeliang, Kuala Nerang dekat
sini.
Terletak hanya kira-kira dua kilometer dari Pekan Kuala Nerang,
percutian di situ mampu menawarkan ketenangan kepada golongan dewasa dan
keceriaan kepada anak-anak kecil.
Keseronokan buat anak-anak kecil itu sebenarnya boleh ‘terpancar’ sejak
dari mula anda meletakkan kenderaan lagi.
Jika bernasib baik, turun saja dari kereta, Abu si penyambut tetamu
‘mungkin’ memberi salam dengan suara yang cukup lunak.
Mengapa mungkin? Sebabnya semua itu bergantung kepada ‘mood’ Abu yang
merupakan seekor burung kakak tua comel berwarna kelabu daripada baka African
Grey yang mampu meniru percakapan manusia sekali gus mendatangkan kekaguman
buat anak-anak kecil.
Bermula dari situ, teruslah menjelajah ke kawasan kiri dan kanan kerana
terdapat lebih 10 ekor ‘rakan-rakan’ Abu yang datang dari serata negara dengan
pelbagai warna menarik sedia ditatap dari jarak dekat antaranya burung kakak
tua jenis red lory dan suncornia.
Sesudah itu, bawalah anak-anak anda bermesra dengan Atan, Mike, Ibu,
Minah dan Awang juga bukanlah manusia sebaliknya rusa yang menjadi tarikan
utama di situ.
Jangan bimbang, semua rusa sambar itu jinak-jinak belaka dan anda
sekeluarga tidak akan berdepan masalah untuk memanggil Atan, Mike, Ibu, Minah,
Awang mahupun puluhan rusa lain yang ada di situ untuk datang ke tepi sangkar
bagi diberikan makan.
Tidak cukup dengan itu, anak-anak kecil berpeluang menaiki kuda padi,
‘berkenalan’ dengan 10 jenis ayam yang juga datang dari serata dunia serta
mandi manda di kolam yang terletak dalam kawasan ladang tersebut.
Menurut pengasas dan pengurus lokasi percutian tersebut, Nor Azhar Mohd.
Noor, seboleh mungkin dia mengimpikan supaya pengunjung terutama kanak-kanak
dapat mempelajari sesuatu setiap kali berkunjung ke situ.
“Semua ini sebenarnya bermula daripada hobi saya yang suka membela
haiwan. Sebelum ini saya bekerja sebagai jurutera sebelum membuka syarikat
pembinaan sendiri.
“Pada 2005, saya mula membela kambing, kemudian pada 2008 saya mula
belajar menternak rusa daripada penternak kecil-kecilan di Tualang dekat sini yang
menyebabkan rasa minat pada haiwan itu kian bercambah,” katanya kepada Utusan
Malaysia di sini baru-baru ini.
Menurutnya, bagi mendalami ilmu menternak haiwan, dia sanggup untuk
menjelajah ke seluruh tanah air sebelum ke Australia bagi berguru dengan individu
yang benar-benar pakar.
“Lama-kelamaan jumlah rusa yang saya bela kian bertambah dan kawan-kawan
yang sama terlibat dalam bidang ini pun kian ramai sehingga membolehkan kami
bekerjasama dalam pelbagai aspek,” katanya.
Mengulas mengenai ladangnya itu, dia berkata tempat itu mula melalui
transformasi menjadi lokasi percutian apabila terdapat permintaan masyarakat
luar yang ingin membawa keluarga bermalam di situ beberapa tahun lalu.
“Setelah mempunyai sedikit kepakaran dalam menternak rusa, saya bersama
rakan-rakan seringkali mengadakan seminar atau kelas untuk individu berminat.
Mulanya kami buat di premis berdekatan namun setelah beberapa ketika, kami mula
melaksanakannya di ladang ini.
“Lama-kelamaan terdapat permintaan peserta seminar dan masyarakat luar
mahu membawa keluarga bercuti di sini. Memandangkan ada sambutan menggalakkan,
kami membina resort yang kini mempunyai enam bilik yang selesa untuk percutian
seisi keluarga,” katanya.
Sebarang maklumat lanjut mengenai lokasi percutian itu boleh didapati di
laman Facebook Semeliang Agro Farm atau Semeliang Village Resort.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.